KUANTAN: Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menjadi universiti pertama di negara ini yang menyediakan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khusus bagi calon persendirian.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Ahmad Zamri Md. Isa berkata, pusat peperiksaan itu dikendalikan Kementerian Pendidikan dengan kelulusan Lembaga Peperiksaan.
Menurutnya, kapasiti yang diluluskan adalah seramai 200 orang calon namun bagi peperiksaan SPM tahun ini hanya 118 calon mendaftar.
“Kami berbesar hati kerana UnIPSAS menawarkan pusat ini memandangkan sukar mendapatkan dewan berhawa dingin, tenteram dan aman.
“Lokasi di sini juga menyediakan persekitaran pendidikan yang sesuai dengan pembelajaran dan peperiksaan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS di sini.
Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal berkata, kemudahan disediakan itu adalah sebahagian sumbangan universiti kepada masyarakat bagi memastikan calon persendirian menduduki peperiksaan dalam keadaan selesa.
Katanya, selain SPM, UnIPSAS turut bersedia menjadi pusat peperiksaan bagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Tahun ini kapasiti pusat peperiksaan ialah 200 orang dan dijangka meningkat kepada 250 orang tahun depan jika diluluskan. Calon SPM di pusat ini berusia antara 18 hingga 32 tahun,” ujarnya. – UTUSAN










