KAJANG: Sasaran negara untuk berada pada kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang, hanya dapat dicapai menerusi penyertaan menyeluruh semua pihak.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, usaha memperkukuh persepsi rasuah negara bukan tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan gerakan kolektif antara kerajaan, swasta dan masyarakat.
Beliau berkata, kementerian, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu turut digerakkan bagi memantapkan budaya integriti serta memerangi rasuah secara menyeluruh.
Katanya, media juga mempunyai peranan amat penting sebagai pemangkin kesedaran awam terhadap isu rasuah, namun tumpuan perlu turut diberikan kepada usaha dilakukan oleh pelbagai pihak lain.
“Saya juga mengharapkan rakan media supaya jangan tertumpu sangat kepada SPRM dalam kita nak menuju sasaran kedudukan ke-25 dalam CPI.
“Maksudnya kementerian lain, jabatan lain, NGO juga perlu diberikan perhatian bersama, termasuk semua rakyat Malaysia tidak kira sektor mana supaya perkara ini dapat direalisasikan.
“Tidaklah tiap-tiap tahun, habis 2025… Awal tahun 2026 apabila akan ada lagi diumumkan CPI, jadi ini adalah waktu penting bersama masyarakat sokong usaha kita capai tangga ke-25 dalam CPI,” katanya merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media 2025 di Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan mendekati masyarakat akar umbi bagi memperluas kefahaman tentang kesan rasuah terhadap pembangunan negara.
“Dalam memerangi rasuah, kita bukan hanya bercakap soal penguatkuasaan, tetapi soal nilai dan kesedaran rakyat,” katanya. – UTUSAN










