INDEKS Persepsi Rasuah (CPI) sering dijadikan rujukan utama untuk menilai tahap integriti dan kualiti tadbir urus sesebuah negara.
Kedudukan CPI bukan sahaja memberi kesan kepada persepsi rakyat, malah turut mempengaruhi keyakinan pelabur asing, penilaian institusi kewangan antarabangsa serta reputasi negara di mata dunia.
Dalam ekosistem global hari ini, CPI telah menjadi sebahagian daripada “bahasa antarabangsa” dalam menilai kredibiliti sesebuah kerajaan.
Kepentingan CPI ini turut dizahirkan di peringkat kepimpinan tertinggi negara apabila Perdana Menteri menetapkan visi agar Malaysia mencapai kedudukan 25 negara terbaik dunia dalam CPI menjelang 2033.
Sasaran ini mencerminkan kefahaman bahawa CPI bukan sekadar ukuran persepsi, tetapi penanda aras reputasi global yang berkait rapat dengan daya saing ekonomi, kepercayaan pelabur serta keyakinan komuniti antarabangsa terhadap sistem tadbir urus negara.
Ia juga menandakan komitmen politik yang jelas bahawa integriti dan usaha antirasuah merupakan teras pembangunan nasional.
Namun, untuk memahami CPI secara objektif, masyarakat perlu menyedari hakikat asas: CPI tidak mengukur jumlah sebenar kes rasuah atau statistik pendakwaan.
CPI mengukur persepsi berkaitan rasuah dalam sektor awam, berdasarkan gabungan sembilan sumber bebas termasuk penilaian pakar, penganalisis risiko dan komuniti perniagaan antarabangsa.
Selain mengukur persepsi rasuah, CPI juga mengukur persepsi demokrasi dan kebebasan media, kerenah birokrasi, daya saing negara, kebebasan kehakiman, penyalahgunaan kuasa, ketelusan dalam perolehan dan sebagainya.
Maka, CPI lebih mencerminkan bagaimana pelbagai elemen yang berkait dalam rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam ditanggapi dan difahami, bukannya bukti empirikal di lapangan.
Di sinilah terletaknya jurang antara persepsi dan realiti.
Dalam banyak keadaan, tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk siasatan berprofil tinggi, pendakwaan terhadap individu berpengaruh serta pendedahan kes besar meningkatkan liputan media dan kesedaran awam.
Namun dalam jangka pendek, situasi ini boleh mewujudkan persepsi seolah-olah rasuah semakin berleluasa, sedangkan hakikatnya lebih banyak kes sedang dibongkar dan ditangani. Paradoks ini sering berlaku dalam negara yang sedang memperkukuh sistem akauntabiliti.
Faktor lain yang mempengaruhi CPI ialah ekosistem maklumat dan naratif antarabangsa. Laporan media global, analisis firma penarafan, kenyataan badan pemikir dan perbincangan dalam forum antarabangsa memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi.
Reformasi undang-undang, kejayaan pendakwaan dan pemulihan aset mungkin berlaku secara konsisten, namun tanpa komunikasi strategik yang berfakta dan berterusan, realiti ini tidak semestinya diterjemahkan kepada persepsi positif dalam CPI.
Apa yang tidak diukur oleh CPI
Untuk menilai CPI secara seimbang, penting untuk difahami bahawa terdapat beberapa dimensi utama berkaitan rasuah dan jenayah kewangan yang tidak diukur secara langsung oleh CPI.
Pertama, CPI tidak mengambil kira data statistik rasuah dalam sesebuah negara. Jumlah aduan, siasatan, tangkapan, pendakwaan atau sabitan bukan komponen utama CPI.
Justeru, negara yang aktif membongkar dan mendakwa kes rasuah tidak semestinya mencatat skor CPI yang lebih baik dalam jangka pendek, walaupun dari sudut realiti, sistem penguatkuasaan sedang berfungsi.
Kedua, CPI tidak mengukur penipuan cukai. Aktiviti pengelakan dan penipuan cukai melibatkan jumlah kerugian negara yang besar dan memberi kesan langsung kepada keadilan fiskal, namun ia tidak semestinya dikategorikan sebagai rasuah sektor awam dalam metodologi CPI.
Ketiga, CPI tidak mengukur aliran dan pengubahan wang haram. Aliran wang yang berpunca daripada aktiviti jenayah rentas sempadan, pengelakan cukai atau pemindahan dana secara tidak sah sering melibatkan rangkaian kompleks merentasi pelbagai bidang kuasa.
Keupayaan negara mengesan, membekukan dan melucuthakkan aset hasil jenayah adalah indikator penting integriti sistem, tetapi tidak menjadi teras penilaian CPI.
Akhir sekali, CPI tidak meliputi sebarang bentuk rasuah dalam sektor swasta. Amalan rasuah antara entiti swasta, manipulasi pasaran atau salah guna kuasa korporat berada di luar skop utama CPI, walaupun implikasinya terhadap ekonomi dan keadilan sosial adalah signifikan.
Realiti prestasi dan pengiktirafan antarabangsa
Walaupun banyak dimensi penting tidak diukur oleh CPI, realiti prestasi institusi Malaysia dalam memerangi jenayah kewangan semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Penilaian terkini oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan-Kumpulan Asia Pasifik (FATF-APG) memuji kemajuan signifikan Malaysia dalam rejim anti-pengubahan wang haram dan pemulihan aset.
Antara tahun 2019 hingga 2025, Malaysia telah berjaya memulihkan aset bernilai €8.11 bilion (RM37.63 bilion), yang sebahagian besarnya berkait dengan kes 1MDB.
Pencapaian ini telah membawa kepada kenaikan status Malaysia ke tahap tertinggi, menandakan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan institusi negara dalam memerangi jenayah kewangan secara berkesan dan berterusan.
CPI sebagai penunjuk, bukan keseluruhan gambaran
Kesemua ini menunjukkan bahawa CPI adalah satu penunjuk penting, tetapi bukan gambaran menyeluruh terhadap realiti rasuah dan integriti sesebuah negara.
Sasaran untuk mencapai kedudukan 25 dunia menjelang 2033 perlu dilihat sebagai pemacu reformasi, bukan sekadar usaha memperbaiki persepsi.
Keutamaan sebenar negara adalah membina sistem tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berfungsi secara efektif dan adil.
Apabila tatakelola baik semakin dibudayakan dan bertambah kukuh secara konsisten, persepsi global akan berubah seiring dengan masa, walaupun tidak serta-merta.
Sebagai penutup, merapatkan jurang antara persepsi dan realiti memerlukan tindakan tegas, reformasi berterusan serta komunikasi strategik yang berfakta dan berwibawa.
Dalam dunia yang saling terkait, integriti bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga difahami.
Justeru, CPI mengingatkan kita bahawa kepercayaan global dibina bukan melalui angka semata-mata tetapi melalui bukti, konsistensi dan komitmen jangka panjang negara. – UTUSAN
HISYAM Mohd. Yusoff ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










