Turunkan ranking indeks persepsi rasuah peranan semua - Utusan Malaysia

Turunkan ranking indeks persepsi rasuah peranan semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Transparency International telah mengumumkan ranking Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan negara kita, Malaysia kekal di tangga 57, sama seperti tahun 2023 dengan skor 50 mata.

Ekoran pengumuman itu maka timbullah cakap-cakap bahawa kerajaan sekarang gagal menangani isu rasuah menyebabkan kedudukan Malaysia tidak berubah.

Ada yang memberi cadangan bagaimana Malaysia boleh meningkatkan kedudukannya dalam CPI termasuk meniru negara yang berada di ranking teratas iaitu Denmark, Finland dan Singapura. Ketiga-tiga negara ini masing-masing mencatatkan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.

Ada pula yang menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana gagal membanteras rasuah di negara ini.

Perlu diingat, CPI bukan tentang aktiviti rasuah atau usaha memerangi rasuah Ia adalah tentang persepsi. Survey dilakukan bagi mendapatkan pandangan sama ada responden merasakan pengalaman yang dilaluinya boleh dikaitkan dengan rasuah atau tidak.

Ia sangat subjektif. Banyak bergantung kepada sentimen dan pengalaman seseorang dalam berurusan di negara ini. Sebahagian besar responden pula terdiri daripada pekerja profesional asing yang bekerja di negara ini atau ekspatriat.

Sudah tentu mereka ini memberikan persepsi yang macam-macam tentang rasuah di negara ini. Lebih-lebih lagi kalau mereka mengalami perkara yang kurang menyenangkan ketika berurusan dengan pihak berkuasa atau kaunter-kaunter kerajaan.

Untuk Malaysia ada sembilan elemen dalam survey yang dilakukan. Dan tidak ada satu pun yang berkaitan dengan usaha SPRM membanteras rasuah. Semua soalan yang dikemukakan adalah secara umum mengenai tata kelola, keterbukaan dan inisiatif kerajaan, transformasi undang-undang dan pelbagai lagi.

Daripada soalan-soalan yang umum ini, pada akhirnya responden diminta menyimpulkan sama ada mereka merasakan wujud elemen rasuah atau tidak. Semuanya tentang persepsi. Namun ia wajar ‘dilayan’ kerana masyarakat antarabangsa memandang penting kepada indeks ini terutama dalam membuat keputusan sama ada mereka mahu berniaga dengan kita atau tidak.

Maknanya, CPI walaupun bentuknya adalah berasaskan persepsi namun ia penting terutama kepada pihak yang mahu melabur di negara ini. Jika kedudukan kita lebih baik dalam ranking CPI sudah tentu ia memberi lebih keyakinan untuk pemegang dana luar melabur di negara kita.

Oleh itu sasaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Malaysia menduduki tangga ke-25 dalam tempoh lima tahun lagi wajar disokong. Negara kita bukan sahaja perlu bebas rasuah tetapi mesti kelihatan sudah bebas daripada jenayah ini.

Sudah tentu ia memerlukan peranan semua pihak. Bebanan mencapai sasaran ini bukan dibahu SPRM semata-mata. Semua jabatan kerajaan perlu terlibat dalam usaha membaiki ranking Malaysia dalam CPI ini.

Jabatan-jabatan kerajaan mesti mempertingkat tata kelola atau urus tadbir mereka, memastikan integriti sentiasa diutamakan selain tidak memandang remeh ketika berurusan dengan orang ramai.

Para petugas di pintu masuk negara adalah cerminan utama kepada persepsi tentang rasuah di negara ini. Jika kita melancong ke luar negara sekali pun, jika urusan di kaunter-kaunter imigresen itu seperti cuba dilengah-lengahkan, sudah tentu kita akan mengaitkannya dengan rasuah.

Begitu juga urusan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam meluluskan lesen dan sebagainya, Jika mana-mana PBT lambat meluluskan sesuatu permohonan terutama yang membabitkan ekspatriat atau pelabur asing, ini akan memberi kesan kepada skor dalam CPI.

Para petugas di agensi-agensi kerajaan perlu ingat bahawa setiap apa yang mereka lakukan terutama cara melayan pelanggan akan diambil kira dalam tinjauan skor CPI ini. Ia bukan tentang kejayaan kita mengheret para pesalah rasuah ke mahkamah semata-mata. Ia tentang persepsi.

Dan persepsi dikutip daripada aktiviti yang kita lakukan setiap hari hari. Kita perbuatan kakitangan kerajaan itu dilihat ke arah mahu meminta imbuhan atau kalau bagi imbuhan kerja akan lebih cepat maka persepsi itu akan dicatatkan dalam skor berkenaan.

Sebab itu, negara-negara yang berada dalam ranking teratas dalam CPI memiliki budaya hidup, disiplin dan integriti yang tinggi. Kalau masuk ke Singapura, beranikah kita acah-acah mahu beri rasuah kepada para pegawai mereka berbanding negara ASEAN lain?

Ini kerana kita tahu integriti mereka cukup tinggi. Sebab itu ranking mereka dalam CPI juga tinggi. Budaya ini yang perlu dibentuk dalam kalangan rakyat terutama kakitangan awam di negara kita. Memiliki integriti tinggi yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa.

Sebab itu, kalau kita mahu ranking negara ini dalam CPI meningkat, setiap orang kena memainkan peranan. Sama ada mereka kakitangan awam mahupun swasta.
Orang kita perlu dilihatkan sebagai masyarakat berintegriti bukan ‘muka rasuah’ baharulah indeks ini akan turun.

Ada pula yang mencadangkan kemungkinan penubuhan majlis media boleh menyumbang kepada peningkatan indeks ini. Majlis seperti itu kalau diwujudkan untuk kepentingan pihak tertentu tidak akan membawa apa-apa makna.

Dalam keadaan industri media yang nazak, majlis seperti itu tidak membawa apa-apa makna malah kemungkinan boleh menyebabkan ranking ini terus merudum jika ia dikawal oleh pihak tertentu yang berkepentingan dan tiada langsung kaitan dengan kelompok yang menjadi pengamal media.

Apa pun untuk meletakkan Malaysia di ranking 25 dalam CPI bagi tempoh lima tahun lagi memerlukan peranan dan sumbangan semua. Ia bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Ini kerana acuan persepsi ini dibentuk oleh kita sendiri.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN