Hari itu Pak Aboo minum kopi dengan seorang kawan. Entah macam mana, daripada cerita pasal motor, masuk cerita pasal hutan. Daripada hutan, sampai pula cerita pasal gajah. Pak Aboo tanya dia: “Kau pernah tengok gajah liar kena tangkap pindah?”
Dia geleng. “Tak pernah. Tapi tangkap gajah ini macam mana sebenarnya?” Soalnya. Pak Aboo senyum.
“Itu yang ramai orang tidak tahu. Orang ingat tangkap gajah macam tangkap lembu terlepas.”
Kalau semudah itu, tidak perlulah satu pasukan turun. Ia biasanya bermula apabila gajah masuk kebun. Sekali masuk, orang masih boleh sabar. Dua kali, sudah mula risau.
Kalau malam-malam gajah datang lagi, habis pokok pisang, kelapa, sawit muda, pagar pun dirempuh. Masa itu telefon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mula berbunyi. “Gajah masuk lagi!”
Dari sudut tuan kebun, memang sakit hati. Kita kena faham juga. Kita boleh bercakap pasal konservasi sedap-sedap sambil minum kopi. Tapi kalau kebun yang kita usahakan bertahun-tahun habis dalam satu malam, mungkin kopi pun rasa lain.
Jadi, pegawai dan renjer PERHILITAN akan turun tengok. Kaji. Cari tapak kaki. Tengok tahi. Tengok pokok patah. Cuba agak berapa ekor. Kadang-kadang orang kampung kata 10 ekor. Bila periksa betul-betul mungkin tiga. Biasalah. Kalau jumpa gajah tengah malam, seekor pun boleh rasa macam 10!
Bukan semua kes terus tangkap. Kalau boleh halau, halau dulu. Kalau boleh kawal dengan pagar elektrik atau kaedah lain, buat dulu. Sebab operasi tangkap pindah bukan kerja murah, bukan kerja senang dan paling penting, bukan kerja tanpa risiko.
Tapi kalau gajah sama berulang kali datang, sudah semakin berani menghampiri rumah atau keselamatan manusia mula terancam, masa itu mungkin keputusan dibuat untuk tangkap.
Mula-mula kena cari gajah. Orang yang tidak biasa masuk hutan akan fikir, “Besar macam itu pun susah hendak cari?”
Memang susah. Hutan kita bukan padang bola. Dalam hutan tropika, benda empat tan pun boleh hilang. Kita mungkin nampak tapak kaki sebesar dulang. Jumpa tahi masih panas. Nampak buluh patah. Gajah? Tidak nampak pun kelibatnya.
Bila sudah jumpa dan keadaan sesuai, barulah proses melalikan dilakukan anggota pakar. Ini bukan macam dalam filem – tembak dart, gajah terus jatuh. Tidak. Kena tunggu. Pantau. Bila ubat mula berkesan, keadaan gajah perlu diperhatikan betul-betul. Dan kalau nasib baik, dia rebah dekat jalan. Kalau nasib tak baik? Gajah rebah dalam hutan. Masa itu baru semua orang tengok muka masing-masing.
Lori macam mana nak masuk? Gajah tiga empat tan. Hendak dukung? Memang taklah. Jadi, laluan kena dicari atau dibuka. Logistik kena masuk. Anggota kena ramai. Semua kena dibuat berhati-hati sebab di tengah-tengah semua kekecohan itu ada seekor haiwan besar yang sedang mengalami sesuatu yang dia langsung tak faham.
Dan yang pasti, dalam proses itu untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, pergerakan gajah liar itu akan dibataskan dengan rantai pada kaki semasa proses pemindahan. Dalam keadaan gajah meronta-ronta, kaki boleh mengalami luka.
Bagaimanapun, kakitangan PERHILITAN, sama ada renjer mahupun doktor veterinar bertugas, akan sentiasa memerhati keadaan gajah termasuk bahagian kaki dirantai.
Cuma ramai orang awam tidak tahu, bukan sedikit risiko dalam proses pindah gajah. Ada renjer, mahout dan juga doktor veterinar yang pernah cedera parah akibat dipijak atau diserang gajah.
Kemudian datang bahagian yang paling Pak Aboo suka dalam cerita tangkap pindah gajah di Malaysia.
GAJAH DENAK
Ini memang hero. Gajah yang sudah terlatih bersama mahoutnya membantu menguruskan gajah liar yang ditangkap. Kita manusia kononnya spesies paling bijak. Datang dengan lori, ubat, GPS, radio, rantai dan macam-macam peralatan. Tapi bila sampai bab pujuk seekor gajah, kita panggil gajah lain. Kelakar juga kalau difikirkan.
Tapi di situlah cantiknya hubungan manusia dengan haiwan. Gajah denak membantu mendekati dan memandu gajah liar. Proses membawa gajah naik lori pun kadang-kadang mengambil masa berjam-jam. Kita jangan bayangkan gajah liar itu naik lori macam kambing naik trak pikap. Gajah takut, marah, keliru dan sangat kuat. Salah langkah boleh membahayakan gajah, mahout dan seluruh anggota operasi.
Akhirnya bila gajah sudah berada di atas lori, perjalanan ke rumah baru bermula. Kadang-kadang jauh. Berjam-jam atas jalan. Sampai di kawasan pelepasan, lori berhenti. Gajah keluar perlahan-lahan. Masuk hutan. Kalau tengok gambar waktu itu memang rasa sedap hati.
Tapi sebenarnya Pak Aboo rasa cerita gajah itu baru masuk bab kedua. Sebab, kita boleh pindahkan badannya. Tetapi kita tidak boleh pindahkan ingatannya.
Gajah ingat jalan. Ingat sungai. Ingat kawasan makan. Ingat laluan yang mungkin ibunya pernah bawa masa kecil dan mungkin laluan itu sudah digunakan gajah berpuluh-puluh atau beratus-ratus tahun sebelum kita lukis sempadan atas peta. Kemudian manusia datang.
Hutan dibuka. Jalan dibuat. Kebun ditanam. Rumah dibina. Satu kawasan hutan terputus dari kawasan hutan lain. Gajah keluar mencari jalan. Kita tengok gajah berdiri tepi kebun. Lalu kita kata:
“Gajah dah masuk kawasan manusia.” Pak Aboo pernah terfikir… kalau gajah boleh bercakap, mungkin dia akan jawab, “Kau pasti?”
Itulah yang kita jarang mahu bincangkan. Pak Aboo bukan kata manusia salah dan gajah betul. Tidak semudah itu. Petani kehilangan tanaman pun mangsa. Orang kampung takut keluar malam pun mangsa. Pemandu tiba-tiba berdepan gajah atas jalan pun ada keluarga menunggu di rumah dan gajah yang kehilangan habitat pun mangsa.
KONFLIK MANUSIA-GAJAH, KADANG-KADANG SEMUA ORANG KALAH
Sebab itu, Pak Aboo rasa kita kena berhenti melihat operasi tangkap pindah sebagai penyelesaian utama. Ia penting. Kadang-kadang tiada pilihan lain.
Dan Pak Aboo cukup hormat anggota yang masuk hutan, bekerja berjam-jam, mengendalikan haiwan beberapa tan dan mengambil risiko supaya manusia selamat dan gajah itu masih berpeluang untuk hidup.
Tapi selepas lori yang membawa gajah itu pergi, kita kena tanya satu lagi soalan. Kenapa gajah itu sampai ke kampung pada awalnya?
Di situlah cerita sebenar bermula. Tentang koridor hidupan liar. Tentang hutan semakin terpisah. Tentang jalan raya. Tentang ladang. Tentang perancangan guna tanah. Dan tentang sejauh mana kita sanggup berkongsi sedikit ruang dengan hidupan yang sudah berada di sini jauh lebih lama daripada kita.
Kopi Pak Aboo sudah habis. Kawan Pak Aboo diam. Pak Aboo pun cakap, “Pada aku, satu hari nanti kalau kita betul-betul berjaya jaga gajah di Malaysia, ukuran kejayaan bukan berapa banyak gajah yang PERHILITAN berjaya tangkap.”
Dia tanya: “Habis itu?”
Sebab, setiap kali seekor gajah terpaksa meninggalkan hutannya di belakang sebuah lori, mungkin kita patut bertanya yang sebenarnya tersesat itu gajah atau kita?
Abu Zahrim Ismail atau Pak Aboo ialah bekas kakitangan PERHILITAN yang sebahagian besar dalam perkhidmatannya terlibat dalam Unit Pengurusan Konflik Manusia dan Hidupan Liar – menguruskan konflik melibatkan gajah, harimau, kera, babi hutan, musang, ular dan pelbagai hidupan liar lain.










