SPRM tumpu operasi lebih agresif, berimpak tinggi

SPRM tumpu operasi lebih agresif, berimpak tinggi

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendekatan operasi yang lebih agresif dan berimpak tinggi termasuk pemulihan aset menjadi fokus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke kelompok 25 negara teratas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transformasi pendekatan pencegahan rasuah perlu sentiasa berlaku kerana kaedah lama tidak lagi relevan dengan cabaran semasa.

“Kita tidak boleh guna kaedah dua, tiga atau lima tahun lepas. Pendekatan 2026 mesti berubah. Transformasi ini dinamik kerana amanah yang kita pikul adalah untuk rakyat

“Fokus utama SPRM pada 2025 adalah mengurangkan ketirisan negara membabitkan dua aspek iaitu hasil tidak dikutip dan kerugian akibat kenaikan kos atau kehilangan perbelanjaan,” katanya dalam sesi sembang tamu Memacu Perubahan Pencegahan Rasuah di MACC.fm, di sini hari ini.

Menurutnya, negara pernah kehilangan RM277 bilion dalam tempoh tujuh tahun akibat rasuah, penipuan dan jenayah kewangan lain.

“Rakyat mahu lihat tindakan yang efektif dan memberi impak. Kes kecil tetap disiasat, tetapi tumpuan kita kini kepada kes berskala besar, berprofil tinggi dan bersindiket,” jelasnya.

Mengulas pemulihan aset, Azam berkata, gabungan pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) berjaya mengembalikan RM15.5 bilion kepada kerajaan.

“SPRM pula sebagai agensi peneraju berjaya memulangkan RM8.5 bilion hasil jenayah dalam tempoh dua tahun setengah.

“SPRM memulangkan semula hasil yang dicuri dan dikembalikan kepada rakyat daripada penjenayah, korupsi, penyeludupan dan pelbagai aktiviti jenayah kewangan. Tugas kita ialah ambil balik,” ujarnya.

Beliau berkata, kaedah pemulihan aset akan diperkasa pada 2026 melalui penggunaan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Mengambil contoh pembaharuan selepas tragedi 9/11 di Amerika Syarikat (AS), apabila kerajaan AS mengenal pasti kelemahan semua agensi mereka tidak duduk bersama, Azam menegaskan semua agensi penguat kuasa kini perlu berkongsi maklumat dan kepakaran.

“Antara agensi terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja (JKDM), Bank Negara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita duduk macam adik-beradik. Tidak ada lagi bekerja secara terasing. Ini memastikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan,” jelasnya..

Beliau turut memberi peringatan keras kepada pegawai SPRM supaya sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi kerana tuntutan masyarakat semakin besar.

“Saya dah sebut banyak kali, SPRM perlu sentiasa bersedia. Kalau ada yang leka atau jadi ‘deadwood’, lebih baik tinggalkan SPRM.

“Dengan lebih 2,400 pegawai dan hampir 3,000 kakitangan keseluruhan, pengoperasian agresif dan penyelesaian kes dalam tempoh lebih singkat akan terus menjadi penanda aras prestasi SPRM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN