Memupuk bakat kunci kepada pembangunan infrastruktur negara

Memupuk bakat kunci kepada pembangunan infrastruktur negara

MELISSA NORMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

Walaupun kadar pengangguran Malaysia menurun kepada 3 peratus, kadar penglibatan belia masih rendah dengan ramai yang bekerja di bawah tahap kemahiran mereka. 

Pada masa sama, lebih 3.18 juta rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi gig sebagai pekerja bebas, manakala majikan terus berdepan cabaran mendapatkan tenaga kerja dengan gabungan kemahiran digital dan insaniah yang tepat, khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), data dan pembuatan termaju.

Bagi Pengasas dan Pengarah Urusan Aisling Consultancy, Melissa Norman, pelaburan dalam budaya dan modal insan bukan sekadar strategi sumber manusia (HR), tetapi jalan ke arah membina tenaga kerja Malaysia yang inklusif, berdaya tahan, dan sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13.

Beliau percaya bahawa bakat adalah infrastruktur negara. Ikuti perkongsian beliau dengan Utusan Malaysia dalam satu temubual baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana syarikat boleh menjadikan pembangunan bakat sebahagian daripada strategi perniagaan, bukan hanya fungsi HR?

MELISSA: Bakat bukan sekadar sumber tenaga kerja; ia adalah aset strategik yang menentukan daya saing dan kelangsungan sesebuah organisasi. Justeru, pembangunan bakat tidak boleh dipisahkan daripada strategi perniagaan, sebaliknya mesti menjadi salah satu tonggak utama yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Data terkini menunjukkan kadar pengangguran Malaysia kekal rendah pada 3.0% setakat Jun 2025, yang bermakna pasaran kerja semakin ketat. Dalam keadaan ini, syarikat tidak boleh sekadar ‘mengisi kekosongan jawatan’, mereka perlu membina saluran bakat sendiri untuk menjamin pertumbuhan jangka panjang. Hal ini boleh direalisasikan melalui beberapa langkah strategik:

Pertama, syarikat perlu menyelaraskan pembangunan bakat dengan objektif perniagaan. Program latihan, bimbingan dan pensijilan harus dirangka untuk menyokong matlamat korporat seperti peningkatan produktiviti, inovasi dan keupayaan daya tahan organisasi. Kajian antarabangsa menunjukkan organisasi yang mengutamakan pembangunan bakat mencatat prestasi kewangan dan keberkesanan operasi yang lebih tinggi berbanding pesaing mereka.

Kedua, setiap pelaburan dalam bakat mesti diukur melalui penunjuk prestasi perniagaan seperti kadar pengekalan pekerja, tahap penglibatan, inovasi serta pulangan produktiviti. Kajian di Malaysia turut membuktikan bahawa amalan pengurusan bakat yang berkesan meningkatkan prestasi pengurus dan organisasi secara keseluruhan.

Akhir sekali, organisasi perlu membudayakan pembelajaran berterusan yang mendorong pekerja untuk sentiasa memperkukuh kemahiran seiring dengan perkembangan pasaran. Kajian membuktikan bahawa organisasi yang menekankan budaya pembelajaran mampu menjadi lebih tangkas, inovatif dan berdaya saing, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

Sejak ditubuhkan pada 2016, Aisling berpegang pada prinsip bahawa bakat adalah aset strategik, bukan sekadar fungsi HR. Melalui ekosistem Talent Solutions yang merangkumi pengambilan, pembangunan kepimpinan, pensijilan antarabangsa dan latihan profesional, kami memastikan pembangunan bakat benar-benar menyokong hala tuju perniagaan.

Apakah langkah segera yang boleh diambil untuk mengukuhkan bakat infrastruktur di Malaysia?

Terdapat beberapa langkah segera yang boleh diambil untuk mengukuhkan bakat infrastruktur di Malaysia:

Pertama, penstrukturan semula pendidikan dan latihan (STEM & TVET) agar selari keperluan semasa. Malaysia harus memperhebatkan penyelarasan antara institusi pendidikan (sekolah menengah, politeknik, kolej komuniti, universiti) dan sektor industri supaya kemahiran yang diajar adalah relevan dengan perkembangan teknologi dan permintaan pasaran. RMK-13 telah mengetengahkan bahawa pembangunan bakat di peringkat pendidikan peringkat awal dalam STEM adalah penting sebagai asas kepada tenaga kerja yang mahir

Kedua, pengukuhan kerjasama awam-swasta & integrasi ekosistem inovasi. Untuk memaksimumkan potensi bakat, kolaborasi menyeluruh antara pihak kerajaan, institusi pendidikan, industri swasta, serta entiti penyelidikan perlu diperkukuh. Sebagai contoh, menubuhkan perkongsian yang membolehkan industri memberi input langsung ke dalam reka bentuk kurikulum, peluang latihan industri dan penempatan graduan

Aisling memainkan peranan penting sebagai firma perunding yang berfokus kepada pembangunan bakat, strategi organisasi dan kepimpinan.

Dalam konteks mengukuhkan bakat infrastruktur di Malaysia, Aisling bertindak sebagai rakan strategik yang menyokong agenda negara dengan:

*Penyelarasan strategi bakat: membantu organisasi merangka pelan pembangunan kepimpinan dan program kemahiran yang sejajar dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.

*Memperkasa agenda TVET dan bakat digital: Bekerjasama dengan organisasi untuk melatih tenaga kerja, memastikan mereka bukan sahaja berkelayakan di atas kertas tetapi juga mempunyai kemahiran praktikal yang relevan.

*Membangunkan budaya kerja inklusif dan berdaya tahan: Infrastruktur yang kukuh tidak hanya bergantung pada teknologi dan fasiliti, tetapi juga pada pasukan tenaga kerja yang menggerakkannya.

*Menghubungkan ekosistem bakat – Menyediakan sokongan dalam komunikasi strategik serta pengurusan reputasi.

Banyak majikan sukar mencari pekerja dengan gabungan kemahiran digital dan ‘soft skills’. Bagaimana sektor swasta boleh membantu mengisi jurang ini?

Kajian LinkedIn Global Talent Trends 2025 menunjukkan lebih 70 peratus majikan di Asia Tenggara meletakkan gabungan kemahiran digital dan soft skills sebagai keutamaan pengambilan pekerja. Realitinya, kita melahirkan ramai graduan yang mahir teknikal, tetapi masih memerlukan pendedahan kepada komunikasi, kepimpinan dan daya tahan.

Terdapat beberapa cara bagi membantu mengisi jurang ini:

Pertama, syarikat boleh melabur dalam latihan dalaman yang bersepadu, di mana kemahiran digital diperkukuh bersama soft skills melalui modul praktikal dan bengkel kolaboratif. Kajian Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa separuh daripada tenaga kerja global memerlukan peningkatan kemahiran menjelang 2025, dan lapan daripada sepuluh pekerjaan baharu memerlukan kemahiran digital.

Kedua, mentoring dan ‘coaching’ di tempat kerja boleh dijadikan platform untuk membimbing pekerja mengasah kepimpinan, komunikasi dan daya tahan sambil mempraktikkan kemahiran teknikal.

Ketiga, sektor swasta boleh bekerjasama rapat dengan universiti, politeknik dan institusi TVET untuk merangka kurikulum yang lebih seimbang bagi memastikan graduan bukan sahaja mahir teknologi, tetapi juga mampu berfungsi dalam pasukan dan berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, syarikat perlu memperluas peluang latihan industri dan projek praktikal bagi memastikan pelajar serta graduan dapat mengasah dan menguji gabungan kemahiran digital serta soft skills dalam situasi dunia sebenar.

Apa peranan Aisling dalam menyokong agenda digitalisasi dan pembangunan kemahiran di Malaysia?

Aisling memainkan peranan penting sebagai salah satu penggerak utama dalam membina tenaga kerja. Aisling telah mengambil pelbagai pendekatan berikut bagi menyokong agenda ini:

*Pembangunan Bakat & Latihan Bersepadu (Talent & Professional Development): Aisling menawarkan program pembangunan yang merangkumi kemahiran digital melalui bentuk latihan gabungan (blended learning) — secara fizikal, maya, dan ‘microlearning’. Aisling menggunakan platform seperti REACH Ecosystem untuk yang membantu individu memahami kekuatan, kelemahan dan potensi mereka.

*Sijil-HR dan Pensijilan Profesional: Aisling menyediakan persiapan dan kursus kepada individu dan organisasi untuk memperoleh pensijilan global seperti SHRM dan lain-lain, agar kemahiran dijamin bukan sahaja diiktiraf tempatan, tetapi juga memenuhi piawaian antarabangsa.

*Perolehan Bakat & Pencarian Digital Talent (Talent Acquisition & Technical Recruitment): Melalui division seperti “T2P Solutions”, Aisling menyediakan penyelesaian perekrutan khusus untuk bidang teknologi dan digital, termasuk mencari profesional dalam bidang data, keselamatan siber, infrastruktur dan awan (cloud).

*Peningkatan Prestasi melalui ‘Coaching’ & Kepimpinan Transformasional: Aisling menyediakan ‘coaching’ dan kepimpinan kepada kakitangan pengurusan dan eksekutif agar mereka dapat memimpin pasukan dalam persekitaran digital, mengurus perubahan organisasi dan memberi impak kepada budaya kerja.

Bagaimana syarikat boleh bersedia menghadapi keperluan kemahiran baharu seperti AI dan data?

Lonjakan Kecerdasan Buatan (AI) dan data analitik kini bukan sahaja mengubah industri teknologi, tetapi juga sektor tradisional seperti perbankan, kesihatan dan pembuatan. Kajian Forum Ekonomi Dunia 2025 menunjukkan hampir 23 peratus pekerjaan global akan berubah secara ketara dalam tempoh lima tahun kerana automasi dan teknologi pintar.

Pertama, organisasi harus melabur dalam latihan berterusan (continuous learning) yang merangkumi kemahiran teknikal seperti analitik data, pembelajaran mesin, keselamatan siber, serta kemahiran insaniah (soft skills) seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan adaptabiliti. Bank Dunia menegaskan bahawa pelaburan dalam kemahiran digital dan soft skills adalah kunci untuk memastikan daya saing ekonomi masa depan.

Kedua, syarikat boleh mewujudkan budaya kerja berasaskan data dengan menggalakkan penggunaan data dalam membuat keputusan, membina ‘dashboard’ dalaman, dan melatih kakitangan untuk menilai serta mentafsir data. Kajian MDEC menunjukkan bahawa menjelang tahun ini, Malaysia memerlukan lebih 500,000 pekerja mahir digital untuk menyokong ekonomi digital, termasuk dalam bidang AI, sains data dan kejuruteraan awan.

Ketiga, penting untuk organisasi membangunkan bakat masa depan melalui kerjasama dengan universiti, institusi TVET, dan penyedia latihan industri. Dengan memberi peluang latihan industri, projek praktikal dan program reskilling, syarikat bukan sahaja mengisi jurang kemahiran semasa tetapi juga melahirkan generasi pekerja yang bersedia dengan teknologi baru.

Bagaimana pengalaman antarabangsa Puan membantu membentuk cara Aisling menyumbang kepada Malaysia hari ini?

Pengalaman antarabangsa bukan sekadar membentuk kerjaya saya, tetapi juga memberi asas kepada misi Aisling hari ini.

Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam industri bakat bersama syarikat multinasional di Singapura, India, Malaysia dan Ireland, saya menyaksikan bagaimana pendekatan strategik terhadap bakat boleh mengubah organisasi, membangunkan kepimpinan, dan membuka peluang sebenar untuk manusia berkembang.

Gabungan perspektif global dan pemahaman mendalam tentang pasaran tempatan menjadikan Aisling berbeza iaitu bukan sekadar firma rekrutmen, tetapi rakan strategik dalam pertumbuhan perniagaan dan tenaga kerja.

Saya juga merupakan seorang jurulatih bertauliah, EQ-i Certified Practitioner, REACH Certified Coach dan penerima Asia Pacific Enterprise Award (APEA) di mana ia merupakan pengiktirafan yang mencerminkan kepimpinan dalam bidang ini. Kefahaman ini membentuk asas kepada cara Aisling menyumbang dan menyokong Malaysia pada hari ini:

*Membantu organisasi tempatan membina strategi bakat dan kepimpinan yang setara dengan standard global.

*Menawarkan penyelesaian holistik daripada pembangunan bakat, hingga solusi pekerja ekonomi gig.

Apa visi Puan untuk tenaga kerja Malaysia dalam 10 tahun akan datang, dan apakah peranan Aisling dalam mencapainya?

Visi saya dalam 10 tahun akan datang adalah melahirkan sebuah ekosistem bakat yang tangkas, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan tenaga kerja yang bukan sahaja menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), data analitik dan automasi, tetapi juga diperkukuh dengan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, empati, kreativiti dan daya adaptasi.

Seperti yang dilaporkan oleh Forum Ekonomi Dunia, lebih 60 peratus pekerja di Asia memerlukan ‘reskilling’ atau ‘upskilling’ menjelang 2030 untuk kekal relevan.

Transformasi ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menyasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK menjelang 2030.

Dalam kerangka ini, Aisling tampil sebagai rakan strategik kepada organisasi. Kami melihat pembangunan tenaga kerja bukan sekadar soal pengambilan pekerja, tetapi sebagai usaha membentuk masa depan organisasi dan individu.

Aisling membantu syarikat melahirkan pemimpin yang berwawasan, memperkukuh saluran bakat masa depan, serta menyokong strategi digitalisasi mereka.

Di Aisling, kami berpegang pada nilai kemanusiaan iaitu memupuk kejujuran, membina kepercayaan, serta mencipta tempat kerja di mana pekerja-pekerja rasa dihargai

Dalam 10 tahun akan datang, saya percaya tenaga kerja Malaysia bukan sahaja akan bersaing, tetapi berpotensi memimpin di rantau ini dengan teknologi, nilai, dan tenaga kerja yang bergerak seiring. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN