LABIS: Kadar pengangguran negara merekodkan penurunan kepada 2.9 peratus pada tahun lalu, berbanding 3.2 peratus pada 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan positif itu didorong oleh usaha berterusan kerajaan yang menekankan pembangunan bakat dan kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kalau dulu terdapat pengangguran, sekarang ini terdapat peluang pekerjaan, banyak dalam bidang teknikal yang latihannya dibuat oleh institusi TVET.
“Ia sekaligus menunjukkan usaha kita mahu mewujudkan pakar tenaga mahir dalam bidang teknikal ini telahpun membuahkan hasil,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat Johor di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata, kadar kebolehpasaran pekerjaan dalam kalangan graduan TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut mencatat prestasi amat memberangsangkan, iaitu mencapai 99.5 peratus
“Kemas juga banyak melahirkan pekerja berkemahiran menerusi kelas-kelas jahitan, gunting rambut, memasak, dandanan, solekan serta kelas pengkomputeran.
“Oleh itu, lepasan graduan TVET turut digalakkan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar ekonomi setempat bertambah maju.
“Statistik dan kejayaan ini semua tidak lain kerana hasil kesungguhan kita melalui kementerian, jabatan berkaitan, agensi-agensi, anak-anak syarikat agensi, melakukan perancangan untuk kebajikan rakyat dengan ikhlas dan tekun,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengarahkan Kemas menyediakan kertas nota berkaitan pencapaian jabatan berkenaan untuk dibentangkan dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri. – UTUSAN









