Kadar pengangguran kekal 3 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran kekal 3 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADAR pengangguran dianggarkan kekal rendah pada 3.0 peratus bagi keseluruhan 2026 dengan pasaran buruh dijangka terus mengekalkan trajektori yang menggalakkan pada separuh kedua tahun ini.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, keadaan itu disokong permintaan isi rumah yang kukuh serta pertumbuhan stabil sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Katanya, kerancakan aktiviti berkaitan pelancongan, kitaran menaik semikonduktor global serta pembangunan berterusan infrastruktur digital turut menyokong prospek penggajian baharu serta pengekalan pekerja oleh perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bilangan pekerja asing berkemahiran rendah yang berdaftar berkurang sebanyak 2.9 peratus kepada 2.08 juta orang pada akhir Ogos 2026 berbanding 2.14 juta orang dalam tempoh yang sama pada 2025.

“Penurunan ini berikutan kawalan kuota yang lebih ketat selaras dengan komitmen dasar Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap pekerja asing,” katanya.

Sementara itu, keperluan tenaga kerja sektoral akan ditangani melalui inisiatif yang menumpukan kepada penyediaan persekitaran pekerjaan yang kondusif bagi menarik minat bakat tempatan.

“Ini di samping peningkatan produktiviti melalui usaha mempercepat penggunaan automasi dan penerimagunaan teknologi.

“Pekerja asing sebahagian besarnya berasal dari Bangladesh sebanyak 36.2 peratus, Indonesia 26.4 peratus dan Nepal 16.7 peratus.
“Sektor pembuatan pula menggaji bilangan pekerja asing tertinggi iaitu 28.8 peratus, diikuti sektor pembinaan 26 peratus dan perkhidmatan 19.2 peratus.

“Produktiviti buruh yang diukur melalui nilai ditambah per pekerja meningkat 4.6 peratus kepada RM52,763 pada separuh pertama 2026, didorong pertumbuhan output yang kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan serta pemulihan dalam sektor perlombongan dan pengkuarian,” katanya.

Peningkatan produktiviti sektor pembuatan disokong pengembangan output terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) dan logam dengan pertumbuhan nilai ditambah mengatasi pertumbuhan guna tenaga.

Dalam pada itu, produktiviti buruh pada 2026 diunjurkan berkembang sebanyak 3.4 peratus kepada sekitar RM108,100, disokong pelaburan strategik berterusan dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi digital, pusat data dan sektor berkaitan E&E di samping peningkatan penggunaan teknologi serta pembangunan bakat.

“Sektor pembinaan dijangka mencatat pertumbuhan produktiviti tertinggi sebanyak 4.4 peratus, diikuti sektor pembuatan 4 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.

“Pasaran buruh kekal stabil pada separuh pertama 2026, disokong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan serta permintaan domestik dan sektor luaran yang teguh.

“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 70.9 peratus yang menunjukkan peningkatan penglibatan tenaga kerja dalam pasaran berikutan prospek peluang pekerjaan yang menggalakkan.

“Jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang manakala kadar pengangguran kekal rendah 3 peratus atau 509,700 orang. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar peluang guna tenaga iaitu 66.7 peratus diikuti sektor pembuatan 16.2 peratus dan pertanian 8.7 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini