Kerajaan sedia naikkan gaji minimum jika ekonomi mengukuh

Kerajaan sedia naikkan gaji minimum jika ekonomi mengukuh

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan bersedia mempertimbangkan kenaikan gaji minimum lebih RM1,700 sekiranya prestasi ekonomi negara terus berkembang kukuh dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan gaji minimum perlu seiring dengan peningkatan kos sara hidup rakyat dan keupayaan syarikat untuk menanggung pembayaran gaji.

“Dulu sebelum saya ambil alih kerajaan, gaji minimum RM1,200. Selepas itu kita naikkan ke RM1,500, dan naik lagi ke RM1,700,” katanya ketika Program Townhall PMX Bersama Anak Muda di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan seorang peserta berhubung penetapan gaji minimum yang masih rendah khususnya di Sabah.

Bagaimanapun, Anwar mengakui kadar itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan harian rakyat dengan mengambil kira ekonomi semasa.

“Apakah cukup? Saya rasa tak cukup. Jika ekonomi lebih kuat, saya akan naikkan lagi,” katanya.

Anwar berkata, beliau memberi contoh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan kebajikan pekerja dengan menetapkan gaji minimum RM3,100.

“Kalau kita mempunyai kuasa penuh di syarikat kerajaan seperti Petronas, bank-bank di bawah kerajaan, gaji minimum kakitangan ditetapkan RM3,100. Itu standard yang kita mahu,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan sektor awam sehingga 30 peratus sebagai langkah menangani peningkatan kos sara hidup.

Mengenai pelaksanaan kenaikan gaji minimum di Sabah, Anwar berkata, terdapat beberapa sektor sebelum ini diberikan pengecualian namun kerajaan bersedia berbincang semula bagi memastikan pekerja di negeri itu tidak tercicir.

“Tapi di Sabah, ada beberapa tempat dapat pengecualian. Namun saya setuju untuk berunding bagi menaikkan gaji minimum termasuk di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN