33,000 wanita terkorban, Palestin desak tindakan antarabangsa

33,000 wanita terkorban, Palestin desak tindakan antarabangsa

KEKEJAMAN berterusan rejim Zionis menjadi punca utama kemusnahan, penderitaan dan kehilangan wanita serta kanak-kanak perempuan Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita, Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin mengecam keras kekejaman berterusan rejim Israel yang disifatkan sebagai punca utama penderitaan dan kehilangan wanita serta kanak-kanak perempuan Palestin.

Menurut Kedutaan Palestin, wanita Palestin berhak menikmati kehidupan yang aman, bermaruah dan dilindungi sepenuhnya, namun hak tersebut terus dinafikan menerusi pelbagai bentuk penindasan oleh tentera dan pentadbiran penjajah Israel.

Katanya, kekejaman yang dilakukan termasuk pembunuhan beramai-ramai, hukuman mati tanpa perbicaraan, kehilangan paksa, penahanan arbitrari, penyeksaan, keganasan seksual serta perobohan rumah dan rampasan tanah yang menjerat kehidupan masyarakat Palestin setiap hari

“Data terkini yang didedahkan kementerian menunjukkan lebih 33,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin terbunuh dalam tempoh dua tahun lalu, menjadikan mereka antara mangsa terbesar dalam kitaran keganasan yang tidak berkesudahan.

“Pemusnahan infrastruktur asas seperti hospital, klinik wanita, pusat kesihatan reproduktif, kemudahan kesihatan mental serta pusat perlindungan turut mengakibatkan wanita Palestin terputus daripada perkhidmatan penting yang dijamin undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata kedutaan itu lagi, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Bersatu Untuk Mengakhiri Keganasan Digital Terhadap Wanita Dan Gadis’ dianggap relevan kerana Israel didakwa menggunakan teknologi pengawasan canggih dan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat kawalan, intimidasi dan penyasaran terhadap rakyat Palestin.

Katanya, wanita Palestin dilaporkan menjadi sasaran utama dalam bentuk keganasan digital yang semakin meningkat, selain berdepan ancaman fizikal di lapangan akibat perlu berhadapan dengan tindakan ketenteraan harian.

Manakala di peringkat nasional, tambahnya, Palestin kekal komited terhadap konvensyen hak asasi antarabangsa dengan memperkukuh strategi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita serta meningkatkan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan negara.

“Usaha harmonisasi undang-undang negara dengan piawaian antarabangsa sedang dipergiat bagi memastikan hak dan perlindungan wanita terus diperkasakan dalam semua aspek kehidupan.

“Palestin menggesa komuniti antarabangsa mengekalkan tekanan global bagi menamatkan penjajahan haram Israel,” katanya.

Katanya lagi, rejim Zionis harus dipertanggungjawabkan atas jenayah perang, penyeksaan, pemindahan paksa, keganasan peneroka dan pencabulan sistematik terhadap hak wanita Palestin seperti digariskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN