BANGI: Masih belum ada jaminan Lembaga Keamanan atau Board of Peace yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menangani krisis membabitkan Semenanjung Gaza dan menghentikan sebarang serangan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia belum membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada Lembaga Kemananan yang didakwa untuk menangani krisis membabitkan Semenanjung Gaza serta wilayah berkenaan.
“Agak sukar melainkan ada jaminan yang betul dan baik serta ketegasan soal rakyat Gaza, pengiktirafan Palestin serta menghentikan sama sekali serangan ganas dan biadab oleh rejim Israel.
“Selain itu, bantuan kemanusiaan juga belum dipulihkan dan dilaluikan (kepada rakyat Gaza). Jadi sukar untuk kita beri dokongan awal,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Media antarabangsa melaporkan, Presiden Trump melancarkan Lembaga Keamanan dan menyatakan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menangani bukan hanya krisis di Semenanjung Gaza, malah di luar wilayah itu.
Piagam lembaga yang diasaskan oleh Trump untuk menyelesaikan konflik antarabangsa itu menetapkan yuran keahlian tetap sebanyak AS$1 bilion.
Walaupun pada asalnya bertujuan menyelia pembinaan semula Gaza, piagam lembaga itu kelihatan tidak mengehadkan peranannya kepada wilayah Palestin dan seolah-olah mahu menyaingi Pertubuhan Bangsa Bersatu. – UTUSAN










