PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam isu kemanusiaan di Palestin, sebaliknya tampil membawa suara dunia menuntut keadilan dan keamanan yang berkekalan di Gaza secara berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menggunakan kesempatan penuh untuk menyampaikan pendirian tegas Malaysia agar AS memainkan peranan dalam memastikan rejim Israel mematuhi gencatan senjata dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Di hadapan Presiden Donald Trump, saya membawa pendirian Malaysia dan suara para pejuang keadilan dari seluruh dunia, menuntut agar Amerika Syarikat memastikan rejim Israel mematuhi gencatan senjata di Gaza.
“Kita bukan bangsa yang bersembunyi di sebalik laungan dari jauh. Kita berani menyatakan kebenaran secara berdepan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar sebelum ini turut menyambut baik pelan komprehensif Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik Gaza yang menurutnya telah memberikan dunia satu sinar harapan bahawa walaupun dalam konflik paling rumit, diplomasi dan keazaman masih mampu menang
“Kami menyambut baik pelan komprehensif untuk menamatkan konflik Gaza. Ia telah memberikan dunia sedikit sinar harapan bahawa walaupun dalam konflik yang paling sukar, diplomasi dan keazaman boleh menang.
“Kami percaya bahawa dengan kepimpinan anda (Trump), kita akan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya. – UTUSAN










