PETALING JAYA: Perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 akan dipantau rapat kerajaan bagi memastikan keselamatan setiap peserta dari Malaysia terjamin sepanjang berada di zon berisiko.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ketua delegasi turut memuji kecekalan delegasi negara yang sanggup berdepan risiko demi misi bantuan terbabit.
“Saya menitipkan kata-kata semangat dan terus memberi jaminan bahawa pergerakan dan keselamatan mereka akan kita pantau sentiasa.
Doakan mereka, perjalanan dan perjuangan ini cukup mencabar. Namun dengan semangat jitu dan kesungguhan untuk menghantar mesej pada dunia bahawa rakyat Malaysia teguh bersama Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau bersama delegasi media dan urusetia menghantar pasukan GSF 2.0 Malaysia di lautan Sepanyol sebelum mereka memasuki perairan antarabangsa.
Amirudin yang diiringi sekumpulan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut memberi kata-kata semangat kepada aktivis Malaysia selain mendoakan agar pelayaran yang membawa bantuan kemanusiaan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan hingga mencapai matlamat utamanya.
“Sekali lagi kepada semua delegasi Malaysia, saya ucapkan salam tahniah khusus daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan yang telah diberikan.
“Kita doakan perjalanan kita yang baru bermula akan lancar, sampailah dapat kita mencapai misi Sumud Flotilla 2.0. Doa rakyat Malaysia untuk anda semua,” katanya.
GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Misi kali ini membabitkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara. – UTUSAN










