Tindakan Israel langgar undang-undang antarabangsa

Tindakan Israel langgar undang-undang antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Israel memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dianggap sebagai penghalang langsung terhadap hak penduduk awam untuk menerima bantuan tersebut dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Hendun Abd. Rahman Shah berkata, berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat 1949, penduduk awam mesti dibenarkan menerima bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan.

“Justeru, tindakan Israel yang menghalang bantuan ini boleh diklasifikasikan sebagai hukuman kolektif yang jelas dilarang di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Hendun lagi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 menegaskan bahawa semua negara menikmati kebebasan pelayaran di laut antarabangsa di bawah Artikel 87.

“Kapal-kapal awam yang berlayar di bawah bendera negara berdaulat tidak boleh diganggu kecuali dalam keadaan yang sangat terhad seperti pencegahan jenayah lanun atau pemerdagangan dadah.

“Pemintasan kapal-kapal tersebut oleh Israel di perairan antarabangsa jelas melanggar prinsip kebebasan pelayaran dan kedaulatan negara bendera (flag state), sekali gus menyalahi UNCLOS,” katanya.

Beliau turut merujuk Laporan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010 yang menyimpulkan tindakan Israel menyerang kapal Mavi Marmara adalah tidak sah.

Katanya, Israel mendakwa tindakan mereka atas alasan ancaman keselamatan negara, namun menurut undang-undang antarabangsa, namun tindakan pintasan tersebut tidak sah.

“Walaupun ada pihak mengaitkan tindakan Israel sebagai jenayah lanun di laut antarabangsa, ia tidak memenuhi definisi lanun di bawah UNCLOS kerana ia dilakukan oleh kerajaan dan bukan untuk tujuan peribadi,” jelasnya.

Sebaliknya, kata Hendun, tindakan tersebut lebih sesuai dikategorikan sebagai keganasan negara (state terrorism) kerana menyasarkan orang awam bagi menakutkan masyarakat antarabangsa dan melemahkan solidariti terhadap Palestin.

“Walaupun istilah ini belum mempunyai definisi undang-undang yang mengikat, ia tetap relevan dalam perbincangan moral dan politik,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN