KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik amalan dwistandard dan sikap hipokrasi sesetengah negara barat yang melanggar undang-undang antarabangsa namun pada masa sama negara lain dikenakan piawaian pematuhan lebih ketat.
Beliau berkata, Malaysia baru-baru ini berdepan situasi sedemikian melalui tindakan pembatalan oleh pembekal dari Norway bagi penghantaran misil anti kapal (NSM) walaupun pembayaran hampir selesai.
Katanya, ia membuktikan wujudnya layanan tidak adil terhadap negara-negara selatan global.
Jelas beliau, perkembangan itu bukan lagi sekadar persepsi sebaliknya semakin menjadi amalan yang menjejaskan kredibiliti sistem antarabangsa yang selama ini didakwa berasaskan kedaulatan undang-undang.
“Hal ini mencerminkan masalah yang lebih besar dan trend yang amat membimbangkan iaitu amalan dwistandard oleh pihak yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Ia juga memperlihatkan hipokrasi pihak tertentu yang memilih untuk berdiam diri apabila pelanggaran sedemikian berlaku.
“Adakah boleh diterima apabila sesetengah negara mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa sedangkan negara lain dikenakan piawaian pematuhan yang jauh lebih ketat?” katanya ketika ucaptama dalam Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini hari ini.
Menurutnya, pendirian Malaysia terhadap syarikat pembekal berkenaan dan kerajaan Norway adalah jelas melalui saluran diplomatik dan perundangan
Bagaimanapun, katanya, insiden berkenaan melangkaui pertikaian komersial semata-mata dan mampu menjejaskan hubungan sebagai rakan strategik yang setara.
“Jika beginilah cara rakan-rakan di barat melayan negara-negara Selatan Global, jika prinsip ‘satu peraturan untuk kami, satu lagi untuk kamu’ benar-benar menjadi norma yang ingin diketengahkan.
“Maka ia tidak memberi petanda baik terhadap masa depan hubungan sebagai rakan kongsi dan sahabat yang setara. Seperti kata pepatah lama Belanda, kepercayaan datang dengan perlahan, tetapi pergi dengan pantas,” katanya.
25 Jun lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar telah menghantar notis serta surat rasmi kepada kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian Malaysia berhubung pembatalan perolehan NSM dibangunkan syarikat negara itu, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memastikan Norway memainkan peranan sebagai pengantara untuk sebarang tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap syarikat pembekal berkenaan. – UTUSAN










