SEPANG: Perkembangan status 23 aktivis Malaysia yang masih berada di bawah tahanan pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan dimaklumkan dalam sidang akhbar pada pukul 4 petang ini.
Wakil Jawankuasa Induk Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Nur Adibah Razali berkata, sidang akhbar itu akan dikendalikan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Katanya, sidang akhbar itu juga akan memaklumkan status lima sukarelawan yang diterbangkan pulang dari Greece ke Malaysia untuk menyambung penugasan di SNCC.
“Status kesemua rakyat Malaysia itu akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah SNCC pada petang ini,” katanya ketika ditemui di SNCC, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang melaksana sehabis usaha untuk membebaskan semua aktivis Malaysia dalam misi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan, negosiasi diplomatik beliau dengan negara besar seperti Presiden Turki, Qatar, dan menghubungi Setiausaha AS telah dibuat dan sedang digerakkan semaksimum untuk delegasi Malaysia dibebaskan.
Setakat semalam, SNCC mengesahkan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.
Sani Araby berkata, pengesahan rasmi itu diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa semua delegasi kini berada dalam tahanan. – UTUSAN









