Sarawak bentang RUU pengurusan sisa bulan depan

Sarawak bentang RUU pengurusan sisa bulan depan

ABANG Johari melihat pameran sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2025 di Sematan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMATAN: Kerajaan Sarawak akan membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pengurusan sisa pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan sebagai langkah memperkukuh tadbir urus alam sekitar wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata RUU itu akan mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih menyeluruh bagi mengawal selia pengumpulan dan pengurusan semua jenis sisa di negeri ini.

“Pada sesi DUN bulan depan, kita akan membentangkan undang-undang mengenai pengumpulan sisa, yang akan diurus dengan lebih teratur dalam rangka perundangan dan juga dari segi jumlah.

“Kalau sisanya terlalu sedikit, sukar untuk diproses…mesti ada jumlah tertentu bagi membolehkan kita menambah nilai kepada sisa itu,” katanya ketika berucap menyempurnakan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata RUU berkenaan akan merangkumi semua jenis sisa bagi memastikan persekitaran Sarawak kekal bersih serta pengurusan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih mampan.

“Ia akan membantu membersihkan persekitaran kita. Inilah perkara penting dari sudut pengurusan alam sekitar,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah itu selaras dengan mandat autonomi alam sekitar yang kini berada di bawah kerajaan negeri selepas rundingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dalam perbincangan kita dengan kerajaan pusat di bawah MA63, kita nyatakan bahawa alam sekitar ialah bidang kuasa dan perlu diberi mandat kepada negeri.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri bersetuju dan kini undang-undang alam sekitar di bawah Kerajaan Sarawak, manakala Sabah di bawah kerajaan Sabah,” katanya.

Abang Johari menambah dengan kawalan penuh terhadap aspek alam sekitar, Kerajaan Sarawak kini mempunyai ruang untuk memperkenal kaedah baharu dalam mengurus serta menambah nilai kepada sisa bagi memastikan Sarawak terus bersih dan lestari.

Sehubungan itu, beliau berkata telah meminta Universiti Teknologi Swinburne Sarawak untuk menubuhkan pusat penyelidikan bagi menjalankan kajian ke atas sisa yang dihasilkan di negeri ini.

“Saya telah meminta Swinburne University menubuhkan pusat penyelidikan untuk mengkaji sisa yang kita keluarkan dan bagaimana ia boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan produk lain termasuk sisa kimia.

“Dengan itu, anak kita juga dapat belajar dalam jurusan sains bahan,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari juga menegaskan bahawa Sarawak tidak akan mengeksport unsur nadir bumi yang terdapat di wilayah itu.

Sebaliknya, beliau berkata akan memanfaatkan sumber berkenaan bagi membangunkan bahan bernilai tambah dalam negeri.

“Kita tidak mahu eksport unsur nadir bumi…dalam unsur nadir bumi ini, ia ada tujuh elemen logam yang sangat strategik untuk kita wujudkan bahan yang lain,” katanya.

Abang Johari menambah, seperti China, negara itu juga tidak mengeksport unsur nadir bumi mereka kerana ia adalah sangat signifikan.

“Sumber ini kita di Sarawak ada tapi kita tidak eksport kerana ia menjadi satu bahan ekonomi yang penting untuk kita wujudkan bahan-bahan yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN