Awan Johor mahu kerusi DUN Puteri Wangsa

Awan Johor mahu kerusi DUN Puteri Wangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Angkatan Wanita Amanah (Awan) Johor sedia meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketuanya, Norhayati Bidin berkata, langkah itu diambil susulan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak lagi berada dalam kerajaan Perpaduan, sekaligus memberikan kekosongan terhadap kerusi itu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Awan Johor telah melakukan persediaan rapi termasuklah mengukuhkan jenteranya di peringkat akar umbi.

“Kami yakin proses rundingan kerusi dalam PH akan berlangsung secara harmoni dan penuh persefahaman. Pada masa sama kami komited memastikan agenda masyarakat kekal menjadi keutamaan bawah pentadbiran kerajaan yang progresif dan inklusif.

“Oleh itu, kami sedia letakkan calon berwibawa yang mempunyai kepimpinan diperlukan bagi menangani pelbagai isu masyarakat yang berbangkit di kawasan Puteri Wangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Norhayati, antara inisiatif awal yang akan dilaksanakan pihaknya sekiranya menjawat jawatan wakil rakyat di kerusi DUN tersebut adalah untuk memperbaiki konsep perkhidmatan kepada penduduk setempat.

“Kami akan perbetulkan segala kelemahan kepimpinan terdahulu. Ini termasuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mendekati belia, memperkukuh jaringan komuniti setempat serta memberi tumpuan kepada isu-isu wanita, keluarga muda dan kesejahteraan ekonomi penduduk,” ujarnya.

Kerusi DUN Puteri Wangsa kini disandang Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN