PRN Johor: Rakyat mahu hasil, bukan sekadar retorik

PRN Johor: Rakyat mahu hasil, bukan sekadar retorik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) Johor kerana berjaya mencatatkan kejayaan yang amat memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir kelmarin.

Antara faktor utama kemenangan ini ialah Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar yang berjaya membawa negeri ini di atas landasan yang tepat untuk mencapai agenda Maju Johor 2030.

Kerja kuat ini bukan omong kosong tetapi ia jelas.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor boleh menjadi petunjuk bahawa rakyat sedang kembali menilai rekod pentadbiran berbanding retorik politik.

Data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa pada 2025, Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus, iaitu kadar tertinggi antara semua negeri di Malaysia.

Nilai ekonomi Johor meningkat daripada RM158.3 bilion kepada RM170.9 bilion, bersamaan hampir 10 peratus daripada keseluruhan ekonomi negara.

Malah di bawah pentabdiran Onn Hafiz, pasaran buruh negeri ini turut menunjukkan peningkatan apabila kadar pengangguran berjaya dikurangkan daripada 2.8 peratus pada 2023 kepada 2.6 peratus pada 2024 dan seterusnya 2.5 peratus pada 2025.

Ini membuktikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Johor juga muncul sebagai antara hab pusat data terbesar di Asia Tenggara, sekali gus menarik kemasukan syarikat teknologi global.

Semua ini dirasai oleh rakyat.

Disebabkan itu berlaku peralihan besar-besaran pengundi muda kepada BN.

Pengundi muda hari ini lebih pragmatik.

Mereka membesar ketika media sosial dipenuhi pelbagai janji politik, tetapi akhirnya menilai berdasarkan peluang pekerjaan, kos sara hidup dan prospek masa depan.

Apabila Johor berjaya menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan memperlihatkan hala tuju pembangunan yang jelas, sebahagian besar pengundi muda melihat kerajaan negeri sebagai pilihan yang lebih meyakinkan.

Namun harus diakui kejayaan BN di Johor juga tidak boleh disandarkan kepada kepimpinan Onn Hafiz semata-mata.

Sebaliknya, ia lahir daripada gabungan kepimpinan yang jelas, calon-calon yang diterima rakyat serta kekuatan jentera parti di setiap peringkat.

Jentera BN yang tersusun, berpengalaman dan dekat dengan masyarakat berjaya menyampaikan dasar kerajaan negeri serta menyelesaikan pelbagai isu setempat sepanjang tempoh pentadbiran, sekali gus membina semula keyakinan rakyat terhadap parti.

Di samping itu, BN dilihat berjaya mengemukakan naratif yang mudah difahami iaitu “Bukti, bukan janji.”

Naratif ini disokong oleh rekod pentadbiran kerajaan negeri, manakala pihak lawan pula berdepan cabaran meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik.

Dalam suasana pengundi semakin matang dan menilai berdasarkan prestasi, gabungan kepimpinan yang stabil, jentera yang kukuh serta rekod pentadbiran yang boleh dinilai menjadi antara faktor penting yang membawa kepada kemenangan besar BN di Johor.

Faktor kedua ialah rakyat sudah muak dengan pemimpin daripada parti politik yang hanya pandai menanam tebu di bibir.

Di Johor, rakyat berjaya menghubungkan prestasi kerajaan negeri dengan kehidupan harian rakyat.

Malah mereka membandingkan kehidupan ketika zaman BN menerajui negara sebelum 2018 dengan kerajaan yang ditunjangi oleh parti hari ini.

Mereka telah memberikan peluang kepada parti tersebut untuk menunaikan janji. Bagaimanapun apa yang dapat ialah mereka ‘disakiti’.

Janji tinggal janji.

BN telah memberikan bukti. Kemakmuran hari ini adalah hasil daripada dasar parti itu sejak merdeka.

Walaupun tidak lagi menjadi tonggak Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Johor di bawah BN terus menunjukkan prestasi pentadbiran yang konsisten.

Hari ini, rakyat melihat kepada bukti dan bukannya pada janji.

Inilah DNA BN, mentadbir dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Bukan populis yang hanya pandai sembang dan gebang.

Ketiga, kejayaan ini juga adalah disebabkan kepemimpinan UMNO berjaya mengembalikan keyakinan rakyat melalui Rumah Bangsa.

Angkat tabik kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang berjiwa besar untuk membawa kembali bekas pemimpin kepangkuan parti tersebut.

Pendekatan Rumah Bangsa memperlihatkan kematangan politik UMNO apabila membuka ruang kepada pemimpin lama untuk kembali menyumbang.

Penyatuan ini bukan sekadar menambah bilangan pemimpin, malah mengurangkan perpecahan undi Melayu dan memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

Kemenangan Johor bukan sekadar kemenangan sebuah negeri.

Ia boleh menjadi petunjuk bahawa rakyat sedang kembali menilai rekod pentadbiran berbanding retorik politik.

Jika model pembangunan Johor dapat diterjemahkan ke negeri-negeri lain, tidak mustahil ia menjadi asas kepada kebangkitan semula BN di peringkat nasional.

Rakyat sudah dapat menilai kerana semua parti telah diberikan peluang untuk memerintah.

Mereka sudah tidak mahu lagi janji, mereka mahukan bukti dan keyakinan untuk melaksanakan setiap perancangan yang dibentangkan. – UTUSAN

AZRAN Fitri Rahim ialah seorang pengamal komunikasi strategik yang pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar kepada menteri dan pegawai khas komunikasi strategik kepada Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN