SHAH ALAM: Tindakan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Mohd. Najib yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti merupakan isyarat rakyat mahu bapanya Datuk Seri Najib Tun Razak diampunkan adalah mengelirukan.
Malah, dakwaan seperti itu juga disifatkan memperlekeh jutaan pengundi di negeri itu dan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang tidak sepatutnya menjadi ‘lesen’ politik untuk menyelamatkan individu tertentu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, undi daripada jutaan rakyat Johor adalah amat bernilai dan tidak sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan individu yang sudahpun dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“(Ia) bukan sahaja bersifat angkuh malah merupakan satu penghinaan terbuka terhadap kebijaksanaan rakyat Johor serta satu bentuk ejekan terhadap prinsip demokrasi.
“Pilihan raya bukan referendum untuk menentukan nasib seorang individu sebaliknya medan rakyat memilih kerajaan yang mampu mentadbir dengan berintegriti, mengurus ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menarik pelaburan dan membina masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Malam tadi, Nazifuddin dilapor mendakwa kemenangan BN pada PRN Johor nanti memberi isyarat rakyat terus menyokong Perdana Mengeri Keenam itu dan berharap beliau akan menerima pengampunan diraja.
Bagaimanapun, Sivamalar mengingatkan Nazifuddin kemenangan BN di Johor pada 2022 adalah disebabkan kadar keluar mengundi rendah yang disumbang oleh faktor pandemik Covid-19.
“Beliau juga lupa fakta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 apabila Johor mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 89% dan buat pertama kali dalam Sejarah, BN tumbang di negeri yang sekian lama dianggap kubu kuatnya.
“Sebaliknya, kemenangan besar BN dalam PRN Johor 2022 berlaku semasa pandemik COVID-19, kadar keluar mengundi hanya sekitar 54.9 peratus. Fakta itu membuktikan apabila rakyat Johor keluar beramai-ramai untuk mengundi, mereka membuat keputusan berdasarkan harapan mengenai masa depan negeri bukan demi kepentingan mana-mana individu,” tegasnya. – UTUSAN










