Johor, Negeri Sembilan kembalikan kuasa politik Melayu

Kesatuan di Johor, Negeri Sembilan kembalikan kuasa politik Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM negara demokrasi seperti diamalkan di negara kita memang sukar untuk mewujudkan hanya satu parti politik Melayu.

Kewujudan pelbagai parti politik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana demokrasi membuka ruang untuk rakyat berpartisipasi dalam lapangan politik secara bebas.

Namun, tidak mustahil beberapa parti politik Melayu mengambil jalan untuk bekerjasama dalam satu gabungan parti bagi membina kekuatan politik Melayu di tanah leluhurnya sendiri.

Memang ia kelihatan sukar tetapi kita percaya bahawa tidak ada yang mustahil untuk kita lakukan jika ada kesedaran dan kemahuan yang tinggi.

Hakikatnya ialah kita perlukan pertautan dan kesatuan politik bangsa yang kukuh, apatah lagi dalam keadaan bangsa Melayu menghadapi ancaman kemerosotan kuasa atau bukan lagi kuasa dominan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Situasi politik Melayu yang lemah ini sudah tentu memerlukan semangat bekerjasama atau perpaduan parti-parti politik Melayu dalam mengembalikan semula dominasi kuasa politik Melayu supaya kedaan sosiopolitik negara ini kembali stabil.

Melayu sebagai tonggak dalam pemerintah mesti dikembalikan semula dalam PRU16 dengan kerjasama parti-parti dari kaum lain yang moderate atau sederhana fahaman politiknya.

Perpaduan dan kerjasama parti-parti politik Melayu itu amat penting sebagai teras dalam pembentukan kerajaan yang mesti direalisasikan kembali.

Kejayaannya amat bergantung kepada persefahaman dan kerjasama utuh pemimpin-pemimpin politik Melayu.

Selepas PRU15, ternyata UMNO kecundang teruk, sebaliknya Pas berjaya mencipta kejayaan yang besar dalam sejarah perjuangan politiknya dengan meraih kerusi Parlimen terbanyak berbanding dengan semua parti-parti politik yang lain.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN) juga memperoleh 31 kerusi. Namun, ketiga-tiga parti Melayu ini terus berbalah dan kedudukan Bersatu kini semakin lemah.

Namun, apabila kesedaran untuk bermuafakat bercambah maka cahaya kesatuan politik Melayu mula terserlah.

Ia bermula melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu. Pas dan UMNO mula menunjukkan persefahaman yang tinggi untuk bekerjasama.

KEJAYAAN parti-parti politik Melayu dalam pilihan raya amat bergantung kepada persefahaman dan kerjasama utuh pemimpin-pemimpin Melayu.

Walaupun Pas gagal memenangi sebarang kerusi di Johor tetapi manisnya dapat dirasai apabila saudaranya UMNO mencipta kejayaan besar dan memperkukuh kedudukan kuasa politik Melayu di negeri yang bermulanya langkah pemodenan dan pembentukan perlembagaan moden semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar dulu.

Dalam PRN Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 1 Ogos nanti, UMNO (BN) dan Pas menunjukkan persefahaman dan kesedaran yang tinggi untuk tidak bertembung sesama sendiri, sebaliknya mempertingkat kerjasama bagi memastikan kedaulatan politik Melayu tertegak semula di negeri adat Perpatih itu.

Sekiranya di Negeri Sembilan ini menunjukkan kejayaan permuafakatan mereka maka sudah pasti ia akan terus dibawa dalam PRU16 nanti bagi mengembalikan dominasi politik Melayu dalam pembentukan kerajaan, dengan dukungan parti-parti utama dari Sabah dan Sarawak.

Kekuasaan Melayu bukan bertujuan menindas kaum lain tetapi untuk mengembalikan keseimbangan sosiopolitik dan ekonomi negara serta meletakkan kembali sistem dan identiti negara kepada tempatnya yang betul dan berhaluan.

Sikap mulia UMNO dan Pas di Johor dan Negeri Sembilan itu menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin dari kedua-dua parti besar Melayu itu boleh melenyapkan kesombongan dan ketaasuban dalam mempertahankan kepentingan dan pendirian politik masing-masing. Sebaliknya, mereka sama- sama meletakkan kepentingan perpaduan bangsa lebih utama daripada ‘amarah politik’ yang merugikan bangsa dan agama.

Kesatuan yang mereka tunjukkan itu dengan meletakkan matlamat dan tujuan mengangkat maruah dan martabat bangsa serta agama di tanah leluhur mereka sendiri disambut baik oleh orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Permuafakatan pemimpin Pas dan UMNO-BN untuk duduk semeja dan bermusyawarah tentang masa depan bangsa adalah satu usaha murni yang dinanti-nantikan oleh orang Melayu.

Sekiranya mereka kekal mengamalkan sikap mulia ini maka tidak ada yang mustahil untuk mengembalikan dominasi politik Melayu di negara ini.

Bukan mudah untuk membuang ‘nafsu amarah’ politik dalam kalangan pemimpin kedua-dua parti Melayu terbesar itu tetapi dengan adanya kesedaran dan keinsafan yang tinggi untuk memelihara maruah bangsa dan agama dari diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak menyukainya maka mereka mampu melakukannya.

Sesungguhnya kesombongan dan ketaasuban dalam berpolitik memang tidak menguntungkan bangsa dan agama.

Malah, kelemahan kita dalam hal ini hanya menguntungkan pihak yang mahu melihat Melayu-Islam di negara ini menjadi lemah demi menjayakan agenda politik mereka.

Kelompok yang anti dominasi politik Melayu-Islam tahu bahawa jika kedudukan Melayu-Islam lemah dalam kuasa politik maka itu membuka peluang kepada mereka untuk menguasai tampuk kuasa yang boleh digunakan untuk menjayakan agenda mereka.

Strategi musuh ialah melemah dan menghancurkan kekuatan umat Melayu-Islam dalam cabang-cabang politik, ekonomi dan sosial.

Selain itu, mereka juga berusaha menghancurkan identiti dan jati diri umat Melayu-Islam melalui revolusi pemikiran daripada berpegang kepada fikrah agama yang benar kepada pemikiran liberal dan slogan kesamarataan.

Pemimpin Melayu yang telah menerima keterbukaan politik berasaskan slogan liberal dan kesamarataan akan mudah dipergunakan untuk memenuhi agenda yang mereka rancang bagi menukar wajah dan identiti warisan sosiopolitik Melayu-Islam kepada wajah liberal yang tidak beridentiti.

Ramai pemimpin Melayu yang tidak sedar bahawa mereka telah dijadikan alat atau agen serta proksi kepada memenuhi kehendak-kehendak musuh politik Melayu yang mahu memusnahkan kedaulatan dan kekuasaan politik Melayu-Islam di tanah air ini.

Mereka sangat gembira sekiranya pemimpin Melayu semakin “menikus” untuk memelihara dan menyuarakan kepentingan bangsa dan agama.

Pemimpin Melayu seperti ini amat takut dituduh rasis jika menyuarakannya. Ia adalah kejayaan musuh politik Melayu dalam melemah dan membenamkan psikologi pemimpin Melayu yang terperangkap dengan permainan mereka.

Inilah cabaran besar yang harus dihadapi oleh umat Melayu-Islam apabila pemimpinnya tidak ada kesatuan fikir dan kesatuan hati sehingga agenda politik musuh yang amat licik itu dengan mudah menguasai mereka.

Justeru, semangat persaudaraan bangsa dan ukhuwah Islamiah melalui politik yang ditunjukkan oleh UMNO dan Pas di PRN Johor dan Negeri Sembilan akan mampu mengutamakan kesatuan bangsa demi menegakkan kembali dominasi politik Melayu yang bermaruah. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN