Penderitaan rakyat Palestin penguat semangat teruskan misi Gaza

Penderitaan rakyat Palestin penguat semangat teruskan misi Gaza

AHMAD Safwan Ujar berkongsikan pengalaman dan situasi semasa rombongan misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) dalam sesi siaran langsung di laman Tik Tok Pemuda Pas Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penderitaan rakyat Palestin menjadi penguat semangat kepada para peserta rombongan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) meneruskan pelayaran menuju ke Gaza meskipun terpaksa berdepan cabaran dan ugutan termasuk serangan dron.

Serangan dron sebagai ugutan terbuka terhadap misi itu yang menyebabkan berlaku 12 letupan dalam kejadian pagi kelmarin antaranya telah memberi kesan kepada sembilan kapal.

Detik cemas berkenaan serta pengalaman sepanjang misi tersebut dikongsikan oleh salah seorang peserta GSF, Ahmad Safwan Ujar dalam sesi siaran langsung di laman TikTok Pemuda Pas Perlis di sini semalam.

Kata Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia itu, pada malam kelmarin atau sekitar pukul 1 pagi waktu Malaysia, kapal telah diserang dengan dron yang menjatuhkan bom letupan.

Katanya, tindakan itu dilakukan sebagai cubaan untuk menggertak dengan harapan agar kapal-kapal dalam misi berkenaan berpatah balik.

“Situasi itu, agak kritikal juga yang menyebabkan terdapat kapal mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada kemalangan nyawa. Ketika kejadian, para peserta tidak tidur lagi dengan bunyi letupan itu sangat berdekatan.

“Setiap malam sememangnya banyak dron namun pada kelmarin ia lebih banyak. Ada sesetengah kapal yang terkena serangan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, memasuki hari keenam, kapal GSF kini berada di zon kelabu, perairan Greece, sekitar 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki Zon Kuning atau Merah.

Seramai 34 peserta Malaysia berada dalam misi yang membabitkan keseluruhan 53 kapal GSF melibatkan sukarelawan dari 45 negara.

Kata Ahmad Safwan, ekoran serangan itu, Itali telah menghantar sebuah kapal tempur untuk mengiringi rombongan berkenaan.

Ujarnya, langkah kerajaan Itali menghantar kapal tempur itu juga memperlihatkan bagaimana mereka menjadi antara negara ke depan dalam merealisasikan misi tersebut.

“Kita harap selepas ini, akan ada lebih banyak bantuan sampai dan dunia kini juga sudah semakin sedar dalam membantu Palestin. Kita harap pelayaran ini selamat sampai seterusnya menyampaikan bantuan.

“Insya-Allah tidak lama lagi sampai zon kuning dan kemudian merah dan dari zon merah itu, perjalanan untuk sampai mungkin sekitar dua hari.

“Kita juga sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Jika tidak berlaku sesuatu di luar perancangan atau halangan, mungkin kita akan sampai dalam masa terdekat. Insya-Allah, jika misi berjaya, akan banyak lagi bantuan sampai dan sekarang ia sudah banyak memberi kesedaran kepada dunia mengenai betapa sukarnya keadaan rakyat di Palestin.

“Ia bukan isu peperangan, sebaliknya bagaimana pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap anak kecil, wanita, kaum ibu. Betapa deritanya rakyat Palestin dan penderitaan mereka menguatkan semangat peserta meneruskan misi tersebut,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mengecam tindakan terkini yang mengancam keselamatan GSF sekali gus menuntut agar segala ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta.

Malaysia juga meminta agar laluan tanpa halangan bagi peserta dan kapal flotilla juga perlu dijamin selamat selain menegaskan bahawa GSF sebuah misi kemanusiaan aman untuk menyampaikan bantuan segera ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×