Negara luar kagum keupayaan Malaysia beri bantuan rakyat

Negara luar kagum keupayaan Malaysia beri bantuan rakyat

ANWAR Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor melawat ruangan pameran sempena Program Madani Rakyat 2025 di Baling, Kedah hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Malaysia dikagumi negara serantau kerana keupayaan memberikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada sembilan juta rakyat serta pemberian sekali beri berjumlah RM100 kepada semua penduduk berusia 18 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara lain mengakui bahawa mereka tidak mampu mengikuti langkah yang dapat menambah baik ekonomi rakyat untuk membeli barangan keperluan.

“Bila saya bincang dengan kawan-kawan saya di luar negara, terutama pemimpin-pemimpin ASEAN. Dia tanya, penduduk 34 juta kita belanja RM15 bilion untuk bagi kepada sembilan juta, kebanyakan mereka jawab tidak mampu mereka buat. 

“Perdana Menteri Vietnam tiga hari lalu umum bantuan kepada rakyatnya sekitar RM47, RM50 seorang. Dia tanya saya, macam mana. Saya kata RM100 ini menambah keperluan yang lain kerana saya tahu harga barang masih tidak terkawal,” katanya pada Program Madani Rakyat 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, hasil yang dinikmati rakyat itu disebabkan keadaan ekonomi negara semakin baik, selain faktor keamanan dan kestabilan Malaysia susulan beberapa tindakan yang mengatasi kepincangan sebelum ini.

Kata Anwar, antara tindakan dibuat adalah menghapuskan kartel ayam, telur dan penyeludupan yang tidak mudah dilakukan kerana memerlukan tekad politik yang tegas.

“Kita pecahkan kartel ayam, setahun bayar RM1.2 bilion selama puluhan tahun. Sekarang kita tarik balik harga ayam tak naik. Maknanya selama ini kartel yang menyebabkan harga naik. Penyeludupan juga begitu banyak sehingga rugi berbilion ringgit.

“Jadi untuk jaga rakyat ini bukan soal bagi wang sahaja, mesti sikap orang politik juga betul. Jangan harap nak rebut tender sahaja. Dulu projek RM2 bilion runding terus siapa nak tentukan harganya betul atau tidak melainkan ada persaingan, kaedah ketat dan jangan ada amalan sakau,” katanya.

Sementara itu, ketika melawat sebuah pasar raya di Kupang, Perdana Menteri berpuas hati dengan sistem terminal MyKasih yang kembali lancar setelah mengalami gangguan teknikal bermula 31 Ogos lalu.

“Saya tengok tadi bukan satu (transaksi) tapi lapan yang saya nampak jalan baik, cuma hari pertama dan kedua ada glitch (kelewatan) sikit tapi sekarang berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, barangan keperluan berasaskan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) akan diberi perhatian untuk ditawarkan menggunakan SARA.

“Kita sekarang galakkan tambahan produk-produk tempatan macam kopi Baling, kicap Kuala Kedah, Alor Setar ataupun Kelantan bagi memperluaskan lagi program ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN