PASIR SALAK: Muzium Perak kini dalam proses untuk menjadi penyelenggara rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharajalela di sini bagi membolehkan rumah tersebut diselenggarakan dan dibuka kepada pengunjung.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Mohamad Amir Mohd. Dahalan berkata, ini sekaligus dapat mengatasi rungutan pengunjung yang tidak dapat masuk atau menghampiri rumah tersebut.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang dalam proses untuk mendapat kebenaran sebagai penyelenggara tapak kubu Datuk Maharajalela termasuk replika rumah tokoh pejuang itu sudah siap dibaik pulih.
“Mengenai tapak kubu Datuk Maharajalela di sini, apabila kita semak kita dapati tapak itu adalah tanah Persekutuan sedangkan Lembaga Muzium Perak adalah adalah agensi kerajaan negeri.
“Kalau kita hendak berbelanja dan menyelenggara baik pulih dan sebagainya ke atas tapak kubu Datuk Maharajalela ini, mestilah di atas tapak milik kita (kerajaan negeri).
“Jadi kita dalam proses ke arah itu dahulu. Apabila selesai, selanjutnya kita boleh pasang pagar di sekeliling tapak kubu ini.
“Apabila sudah ada pagar untuk pastikan keselamatan, jadi kita boleh masukkan barang-barangan pameran ke rumah ini dan pelancong boleh datang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Amir berkata, pihaknya tidak membiarkan tapak kubu tersebut terutama rumah Datuk Maharajalela yang sudah siap dibaik pulih setelah lama terbiar.
Malah. katanya, usaha-usaha pemuliharaan tapak kubu tersebut sudah dibuat sebelum beliau menyertai Lembaga Muzium Perak lagi.
“Sejak tahun 2022, pasukan Lembaga Muzium Perak sudah buat proses baik pulih replika rumah Datuk Maharajalela sebagai warisan yang perlu dijaga,” katanya. – UTUSAN










