GOMBAK: Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan caj ke kawasan bandar bagi kenderaan kerana ia berpotensi membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu hanya boleh dipertimbangkan apabila rangkaian pengangkutan awam negara benar-benar efisien khususnya di kawasan bandar utama.
“Buat masa ini, kita tidak mencadangkan pelaksanaannya kerana ia mungkin membebankan rakyat.
“Namun, apabila sistem pengangkutan awam lengkap dan menyeluruh, mana-mana kota besar wajar memiliki kemudahan seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini. hari ini.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan caj berkenaan pernah cuba dilakukan sekitar 1990, namun tidak berjaya susulan kelemahan sistem bas awam ketika itu yang sesak, sempit dan menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna.
“Tuduhan kononnya kemudahan tidak selesa tidak timbul lagi. Kita mahu pastikan ia sentiasa bersih, rapi dan menarik. Sebab itu saya tekankan kepentingan budaya kebersihan, jangan membuang sampah atau puntung rokok merata-rata kerana ia bercanggah dengan ajaran agama.
“Keadaan sekarang jauh berbeza. Perkhidmatan awam semakin baik, lebih teratur dan selesa untuk digunakan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan TBG bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya.
Katanya, projek itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui perancangan yang diselaras dengan baik bagi memastikan ia menjadi contoh terminal moden yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.
“Stesen besar seperti ini dapat memberi kemudahan kepada rakyat termasuk pasar, dewan dan perumahan rakyat. Kalau diserasikan dengan rangkaian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ia akan menambahkan lagi manfaat kepada rakyat.
“Memang pada peringkat awal kos agak tinggi kerana ia sebuah projek baharu, tetapi apabila sudah berjalan sepenuhnya, kos itu akan diimbangi semula melalui kawalan subsidi oleh kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, TBG juga berpotensi menjadi pusat baharu menghubungkan stesen perniagaan, hotel, restoran dan jabatan kerajaan, sekali gus menyokong pembangunan kawasan setempat termasuk di negeri-negeri lain.
“Dengan kerjasama kerajaan negeri, setiap kawasan boleh dihubungkan. Stesen ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan.
“Malah, kalau hotel sekitar Kuala Lumpur dibangunkan lebih besar, ia akan mengangkat kawasan ini sama seperti pusat pembangunan utama di ibu negara,” katanya. – UTUSAN










