PARLIMEN: MINDEF tubuh jawatankuasa baharu semak perolehan aset

PARLIMEN: MINDEF tubuh jawatankuasa baharu semak perolehan aset

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menubuhkan Jawatankuasa Penapisan Perolehan bagi meneliti setiap perolehan pertahanan sebelum dilaksanakan bagi memastikan ia selari dengan keperluan projek serta perolehan yang diluluskan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pengawasan dan meningkatkan integriti dalam setiap proses perolehan aset strategik pertahanan.

“Selain jawatankuasa tersebut, Kementerian Pertahanan juga melaksanakan pelbagai kaedah pemantauan termasuk penglibatan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan proses perolehan berjalan lancar.

“Kementerian tetap komited dan memberi keutamaan dalam memperkukuhkan integriti serta tadbir urus, di samping memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan sedia ada.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman MinDef turut diwujudkan sebagai mekanisme tambahan agar tatacara pengurusan perolehan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai langkah konkrit Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus perolehan ketenteraan agar projek strategik seperti kapal tempur pesisir (LCS) tidak lagi terpalit isu kelewatan, ketirisan serta kos berlebihan.

Mohamed Khaled berkata, semua permohonan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan hendaklah diperakukan oleh pengguna akhir iaitu Tentera Darat Malaysia (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, pada peringkat perkhidmatan, setiap permohonan pula melalui semakan dan pengesahan Jawatankuasa yang dipengerusikan ketua perkhidmatan masing-masing.

“Ia membabitkan Jawatankuasa Keperluan Operasi TD, Lembaga Pengurusan Keupayaan TLDM dan Jawatankuasa Pembangunan Keupayaan TUDM.

“Setiap permohonan yang diterima akan diteliti bagi memastikan spesifikasi dan kos adalah selari dengan kehendak pengguna serta bersandarkan kelulusan peruntukan yang diterima daripada agensi pusat.

“Setiap permohonan diteliti bagi memastikan spesifikasi dan kos selari dengan keperluan pengguna serta berdasarkan peruntukan yang diluluskan agensi pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN