Malaysia #QuranHour dicadang masuk kalendar pelancongan

Malaysia #QuranHour dicadang masuk kalendar pelancongan

ANTARA peserta yang hadir pada Program Malaysia #QuranHour 2025, di Masjid Negara, di sini hari ini. - UTUSAN/HANAFI ZULKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Malaysia #QuranHour dicadang untuk dimasukkan ke dalam kalendar rasmi pelancongan negara pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu telah dikemukakan penganjur memandangkan program berkenaan kini sudah memasuki edisi ke-11 dan mampu menjadi sebahagian daripada agenda pelancongan Islam di Malaysia.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu tidak menimbulkan masalah besar untuk dipertimbangkan kerana kerajaan memang mengutamakan promosi pelancongan Islam selari dengan pelbagai acara keagamaan sedia ada.

“Usaha ini juga akan memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat rujukan Islam, selain mengangkat al-Quran sebagai panduan kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama,” katanya kepada pemberita di Masjid Negara, hari ini.

Jelas beliau, kerajaan akan meneliti mekanisme terbaik bagi membolehkan Malaysia #QuranHour disenaraikan dalam kalendar pelancongan antarabangsa dan turut menarik minat pengunjung luar negara.

Dalam pada itu, program Malaysia #QuranHour hari ini berlangsung di Masjid Negara dengan penyertaan umat Islam pelbagai latar belakang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu mendapat sokongan penuh kerajaan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. 

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub turut melancarkan Kempen Beras dan Quran dengan agihan 1,200 kampit beras kepada keluarga kurang berkemampuan, menterjemahkan semangat empati dan tema progam “Daripada Keluarga untuk Keluarga.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN