PETALING JAYA: Lebih 11,000 peserta menyertai acara larian Navy Run 25 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Acara tersebut yang memasuki edisi ketiga ini menjadi antara inisiatif terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam usaha memperkenalkan institusi tersebut kepada masyarakat awam, selain memperkukuh hubungan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti setempat.
Larian tersebut turut disertai warga The Navy People, anggota ATM, veteran serta orang awam.
Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Badarudin Taha berkata, penganjuran tahun ini menunjukkan sambutan luar biasa daripada rakyat, malah melebihi jangkaan pihak penganjur.
“Kali ini, penyertaan mencecah lebih 11,000 orang, jauh di luar jangkaan kami.
“Hasilnya, kita dapat lihat banjiran manusia memenuhi dataran hari ini. Ini adalah satu kondisi yang sangat istimewa buat TLDM,” katanya.
Menurutnya, larian ini bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, malah membantu menjana tabung pembangunan sukan dalam TLDM.
“Kami ingin memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga TLDM dan masyarakat. Pada masa yang sama, sasaran kami juga adalah untuk mengumpul dana bagi pembangunan sukan.
“Ramai warga TLDM telah mengharumkan nama negara dalam bidang sukan hasil bimbingan TLDM. Tabung ini sangat penting bagi membina kemudahan latihan dan memberi sokongan yang diperlukan.
“Hasilnya, kita dapat lihat TLDM telah menjadi juara 15 kali berturut-turut dalam sukan antara perkhidmatan,” jelasnya.
Majlis pelepasan larian telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan Navy Run sebagai acara tahunan dan penganjuran seterusnya yang dijangka diadakan pada awal Ogos 2026. – UTUSAN










