KPWKM tidak berdiam diri dalam kes Zara Qairina - Nancy

KPWKM tidak berdiam diri dalam kes Zara Qairina – Nancy

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKW) tidak pernah berdiam diri dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah antara pihak terawal yang bertemu keluarga mangsa untuk menghulurkan bantuan.

“Pihak JKM ada berjumpa dengan ibu Zara dan menawarkan perkhidmatan yang kami ada termasuk khidmat kaunseling.

“Bagi tindakan lain, kami masih menunggu siasatan dilakukan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Beliau berkata demikianselepas Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Zara Qairina, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Mangsa ditemukan dalam keadaan parah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai, di bawah bangunan asrama sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.

Menurut Nancy, masyarakat seharusnya melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab jika melihat insiden seumpama itu.

“Sekiranya anak anda datang mengadu mengenai perkara berlaku di sekolah, rumah mahupun luar rumah, dengarkan mereka.

“Laporkan segera ke Talian Kasih 15999 atau terus kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil yang boleh menyelamatkan nyawa mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN