Imunisasi Tambahan Measles-Rubella Untuk Kanak-kanak

Imunisasi Tambahan Measles-Rubella Untuk Kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR) secara besar-besaran bermula Isnin ini, 4 Ogos hingga 12 Oktober depan bagi melindungi kanak-kanak berusia enam hingga 59 bulan di seluruh negara daripada jangkitan berbahaya itu.

Bahagian Kawalan Penyakit KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif ini menyasarkan kanak-kanak yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025, sebagai usaha meningkatkan liputan imunisasi dan membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity.

“Measles dan Rubella adalah penyakit sangat mudah berjangkit serta boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru-paru, radang otak, sawan dan juga kematian. Namun begitu, kedua-duanya boleh dicegah dengan vaksin MMR (Measles, Mumps dan Rubella),” katanya.

Program ini juga menyokong matlamat negara untuk menghapuskan penyakit Measles menjelang tahun 2030, selari dengan sasaran global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut data KKM, kes jangkitan Measles menunjukkan peningkatan ketara kepada 3,791 kes pada 2024, berbanding 2,002 kes pada tahun sebelumnya. Jumlah wabak juga meningkat dua kali ganda kepada 231 pada tahun ini.

Daripada jumlah kes itu, 44.1 peratus melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun, 28.9 peratus bukan warganegara dan 84.3 peratus terdiri daripada mereka yang tidak pernah menerima sebarang vaksin Measles.

“Tiga kematian turut direkodkan pada 2024 membabitkan kanak-kanak bukan warganegara yang langsung tidak divaksin, masing-masing berumur lapan bulan, tiga tahun dan 17 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menyeru ibu bapa dan penjaga untuk segera membawa anak-anak yang layak ke Klinik Kesihatan kerajaan bagi mendapatkan suntikan tambahan secara percuma.

Janji temu akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera, namun mereka juga boleh terus hadir ke fasiliti kesihatan terdekat tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

Bagi mengelakkan keciciran, KKM turut menggerakkan pasukan ‘outreach’ ke sekolah, pusat komuniti dan kawasan luar bandar untuk melaksanakan imunisasi secara menyeluruh.

Walaupun liputan vaksinasi negara melebihi 95 peratus setiap tahun, hanya 62 peratus daerah mencapai kadar vaksinasi MMR yang disasarkan pada 2024, sedangkan sasaran minimum 95 peratus diperlukan bagi mengawal penularan penyakit secara berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN