Hampir 1,500 pemandu Singapura disaman gagal pasang VEP

Hampir 1,500 pemandu Singapura disaman gagal pasang VEP

MUHAMMAD KIFLI Ma Hassan (kiri) menyertai Operasi Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semua saman yang dikeluarkan bermula 1 Julai lalu hingga kelmarin itu berjumlah RM445,800 dan dalam tempoh operasi lebih sebulan, sebanyak 14,379 kenderaan Singapura diperiksa di laluan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar daerah ini.

“Dalam operasi malam ini sahaja, sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

“Daripada semua pemilik dan pemandu kenderaan yang kita saman ini, rata-rata memberi alasan tidak tahu bahawa kerajaaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan dan masih lagi menjalankan tindakan advokasi,” katanya selepas turut serta dalam pemeriksaan kenderaan Singapura di susur keluar BSI, di sini malam tadi.

Pada 4 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kerajaan menguatkuasakan sepenuhnya VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Julai lalu.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya tidak lagi akan berkompromi dengan alasan tersebut, sebaliknya mengeluarkan saman dan pemandu juga perlu menjelaskan saman serta-merta.

Setakat ini, hampir 90 peratus kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkannya.

“Sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 277,930 tag RFID VEP sudah dikeluarkan JPJ kepada pemilik kenderaan republik berkenaan membabitkan kenderaan persendirian dan syarikat. Kebanyakan kenderaan Singapura yang keluar dari Johor Bahru sudah mempunyai tag RFID VEP yang lengkap, tetapi kita percaya masih ada lagi yang belum mendaftar VEP,” katanya sambil memaklumkan pemandu berkenaan akur dengan peraturan tersebut.

Pihaknya akan meneruskan operasi itu sehingga ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian di lokasi tumpuan warga republik itu.

“Oleh itu, kita ingin ingatkan semua pemilik kenderaan asing ini untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia. Adalah menjadi satu kesalahan memandu kenderaan asing tanpa permit selaras dengan Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman saman maksimum RM300,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×