SEREMBAN: Kegagalan sebuah lori mengelak sebelum hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur keluar Tol Senawang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu mengakibatkan seorang anggota JPJ berusia 42 tahun maut manakala seorang lagi rakan sekerjanya yang berusia 32 tahun parah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota JPJ Negeri Sembilan itu sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan.
“Sejurus pemeriksaan selesai, sebuah lori yang datang dari arah belakang melalui lorong kiri dipercayai hilang kawalan dan gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan JPJ serta lori yang berada di hadapan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan JPJ mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, rakan sekerjanya pula mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum dihantar ke Zon Merah, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi menerima rawatan.
“Pemandu kedua-dua lori berkenaan yang masing-masing berusia 44 dan 48 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan serta menerima rawatan di Unit Kecemasan HTJ,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu mengesahkan seorang anggotanya maut dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, mangsa, Mohd. Azrul Rashid Yaakub yang bertugas sebagai Pegawai Pembantu Penguat kuasa KP2 di cawangan JPJ Seremban telah berkhidmat sejak tahun 2018. – UTUSAN











