‘Tempuh perjalanan panjang, detik sukar untuk keluar Iran’ - Utusan Malaysia

‘Tempuh perjalanan panjang, detik sukar untuk keluar Iran’

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar bercakap kepada pemberita selepas tiba ke tanah air dari Iran susulan ketegangan memuncak di Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 17 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar daripada Iran terpaksa menempuh jalan panjang dan detik sukar untuk keluar daripada negara yang sedang bergelut itu. 

Duta Malaysia ke Iran, Khairi Omar berkata, kesemua yang berjaya di evakuasi daripada Iran itu perlu menempuh perjalanan darat sejauh 1,000 kilometer (km). 

Kata beliau, keputusan untuk mengikut jalan yang lebih jauh itu dibuat selepas menimbang tahap keselamatan dan bagi memastikan proses evakuasi itu berjaya dengan selamat

“Kita melalui perjalanan yang agak panjang kerana keluar daripada Tehran itu kita melalui jalan darat hampir 1,000 km dan bermalam di sempadan

“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datangnya daripada arah Barat, jadi kita (pilih untuk) bergerak ke arah Timur,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kira-kira jam 11 malam tadi.

Terdahulu, seramai 24 individu yang terdiri daripada enam rakyat Iran dan seorang warganegara Singapura yang terkandas di Iran berjaya di bawa keluar dan selamat tiba di Malaysia. 

Kesemua mereka perlu melalui sempadan Iran-Turkmenistan semalam dan kemudiannya berjaya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 semalam. 

Mereka seterusnya tiba di Bangkok, Thailand untuk transit sebelum menaiki Malaysia Airlines MH 781 untuk pulang ke tanah air.

Mengulas mengenai keadaan di Iran, Khairi mendedahkan bahawa ramai dari kalangan rakyat Iran sendiri terkejut dengan konflik yang berlaku begitu drastik dan cepat. 

“Selepas sehari dua, kita sudah nampak rutin (serangan) itu macam mana, di sebelah malam serangan antara kedua belah pihak agak intense (sengit) tetapi di sebelah siang pula nampak macam mereka sepakat untuk kurangkan serangan itu.

“Macam kita semua tahu, sasarannya pun dikenal pasti dan kalau serangan itu menyasarkan fasiliti tertentu maka pihak satu lagi juga akan buat perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, hubungan komunikasi di Iran terpaksa menggunakan kaedah lama iaitu SMS (Perkhidmatan Pesanan Ringkas) kerana masalah gangguan internet. 

“Kita cuba sebaik mungkin sebab di Iran, komunikasi SMS terbuka untuk nombor Iran sendiri, jadi Alhamdulilah di peringkat nasional masih boleh berhubung. 

“Cuma kita nak call menggunakan nombor sini (Malaysia) ke Iran, masih tidak dapat sebab roaming ditutup.

“Kalau Iran untuk call keluar alhamdulilah masih boleh, jadi kita guna cara lama yang masih tidak ramai gunakan,” katanya. 

Sementara itu, katanya, masih terdapat sekumpulan rakyat Malaysia masih terkandas di Iran dan terpaksa berpindah randah bagi melindungi diri. 

Mereka terdiri daripada kalangan pelajar dan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Iran. 

“Kita jangkakan ada seramai 12 rakyat Malaysia masih di Iran tetapi kita sentiasa pantau perkembangan mereka dan memastikan semua berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

“Kita tengok macam mana, kalau keadaan mengizinkan (dan) mereka sendiri memilih untuk keluar (daripada Iran), kita akan bantu,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN