PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan trek perlumbaan di Singen, Jerman sebelum memasang impian memburu podium dalam kejohanan Bahnen-Tournee bermula hari ini.
Atlet kelahiran Terengganu itu berkata, ini merupakan penyertaannya yang pertama di bandar tersebut dan beliau masih belum pernah berlumba di velodrom berkenaan sebelum ini.
“Ini perlumbaan pertama saya di Jerman dan juga kali pertama saya datang ke sini.
“Sebelum ini saya belum pernah berlumba di trek ini, jadi saya mahu ambil peluang untuk sesuaikan diri dulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Aisyah berkata beliau akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu omnium, scratch race dan elimination race.
“Untuk perlumbaan pertama ini, fokus saya adalah untuk dapatkan rentak dan rasa berlumba di sini terlebih dahulu.
“Bila dah dapat rentak, barulah saya boleh baca dan rancang perlumbaan seterusnya dengan lebih baik,” ujarnya.
Aisyah yang juga membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris tahun lalu dalam acara berbasikal lebuh raya mahu menjadikan kejohanan di Jerman untuk dirinya menimba pengalaman berharga.
Sebelum ini, Aisyah pernah menyumbang dua pingat pingat perak kepada kontinjen negara menerusi acara scratch elit wanita dan perlumbaan mata di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) pada Februari lalu.-UTUSAN










