JERANTUT: Walaupun sudah pencen kira-kira setahun lalu, seorang bekas guru besar setia ‘berbakti’ kepada anak-anak masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Kiol, di sini.
Bekas guru tersebut, Abd. Manaf Mat, 61, berkata, disebabkan jiwanya masih bersemangat sebagai pendidik, dia berasa terpanggil untuk membantu sekadar termampu murid-murid sekolah berkenaan membabitkan aspek akademik, kokurikulum dan pembinaan modal insan.
“Sejak awal tahun ini, saya pernah hadir memeriahkan acara merentas desa melibatkan murid Orang Asli etnik Jahut di sini dan diminta menjaga ‘checkpoint’ bersama guru serta mengiringi menjaga keselamatan murid yang tidak mampu berlari termasuk sumbangan hadiah.
“Senario ini terus menambat hati saya untuk menghilangkan kesunyian ketika berada di rumah selepas bersara pada 10 Januari 2024 dan kerap ke sekolah ini supaya terhibur dan mengenang nostalgia lalu ketika menjadi guru.
“Walaupun ditemani isteri yang juga seorang pesara guru, suara murid di kelas tetap terngiang-ngiang di telinga memanggil untuk disantuni dan meminta sesuatu daripada guru mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Abd. Manaf, kehadirannya ke sekolah berkenaan masih tetap diterima baik oleh pentadbir dan sebilangan guru yang pernah bertugas bersamanya sebelum ini.
“Kehadiran saya setiap kali program akademik dan kokurikulum bersama ibu bapa dan penjaga adalah untuk memberikan galakan dan semangat kepada 96 murid Orang Asli di sini dan 13 guru ketika menjayakan sesuatu aktiviti dan memberikan pandangan sekiranya mereka minta,” katanya.
Abd. Manaf menjadi Guru Besar SK Sungai Kiol pada 2022 sehingga Januari 2024. Sebelum itu di jawatan sama di SK Ulu Tembeling, Jerantut (Mac 2021 hingga September 2022) dan pernah bertugas di SK Senderut, Lipis yang juga merupakan sebuah sekolah pelajar Orang Asli etnik Semai selama tujuh tahun (2013 hingga 2019).
Katanya, seperti di SK Sungai Kiol, ketika bertugas sebagai Guru Besar di SK Senderut, Lipis sebelum ini, dia mengeluarkan ‘wang poket’ sendiri untuk membeli hadiah dan peralatan belajar, basikal dan jersi bagi murid sekolah terlibat.
Menurutnya, dia juga kerap berjumpa ibu bapa murid Orang Asli yang tidak hadir ke sekolah bagi memberikan nasihat dan galakan supaya minat belajar serta memberi sumbangan alat tulis, pakaian dan makanan kerana kemiskinan punca murid berkenaan tidak hadir ke sekolah.
“Nampaknya memberi hadiah galakan cukup berkesan apabila setiap bulan didapati murid yang selama ini kerap tidak hadir telah mengubah sikap, lalu berminat datang belajar dan difahamkan tidak ada lagi murid SK Sungai Kiol tidak hadir tanpa sebab,” katanya.
Menurutnya, dia tetap akan bersama dan membantu murid Orang Asli selagi diterima baik oleh pihak berkenaan berasaskan ‘jiwa seorang pendidik’ dan nilai kemanusiaan serta prihatin dengan kesusahan yang ditempuh oleh murid Orang Asli etnik Jahut di sini yang memerlukan pembelaan kebajikan mereka. – UTUSAN











