PETALING JAYA: Polis hari ini menahan seorang lelaki dipercayai membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam melalui Facebook baru-baru ini di Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang oleh sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Taman Johor Jaya, Johor Bharu.
“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu posting dimuat naik pemilin Facebook Prem Esaan’ mengandungi perkataan berbaur penghinaan terhadap agama dan umat Islam serta Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Jumaat lalu, Razarudin mengesahkan sedang menyiasat tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam melalui media sosial, baru-baru ini.
Beliau dilapor berkata, siasatan dijalankan ekoran daripada satu laporan polis yang dibuat seorang pegawai polis di ibu negara, malam tadi.
“Hasil penelitian yang dijalankan mendapati bahawa hantaran itu mengandungi unsur-unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia dan mendatangkan kegusaran awam,” katanya.
Antara kandungan pada posting tersebut adalah seperti berikut:
*Kalau ADA TELUR, seru askar askar dan rakyat Malaysia Islam pergi ke Gaza untuk menguji Allah (Quran 9:26), kononnya akan dihantar malaikat-malaikat bersama askar Islam menetang kafir atau Allah hanya Maha PENIPU – Quran 4:157. Setiap hari mengutuk, mencaci, mengancam Israel macam tong kosong. Buktikan Allah itu wujud, buktikan sejarah dalam Islam itu benar sewaktu pedo-Muhammad dibantu oleh kononnya malaikat. Takbir! Israel-Akbar!*.
Hasil penelitian yang dijalankan mendapati hantaran mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia dan mendatangkan kegusaran awam.
Terdahulu tular di media sosial beberapa tangkap layar memaparkan hantaran oleh individu berkenaan antaranya menyentuh isu perkauman dan agama malah membuat provokasi berkaitan insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 2018.-UTUSAN










