Peningkatan sampah jejaskan keindahan Phuket - Utusan Malaysia

Peningkatan sampah jejaskan keindahan Phuket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHUKET: Botol plastik dan tin minuman kosong kini menjadi pemandangan biasa di dasar laut sekitar Phuket, Thailand.

Sedangkan selama ini, lokasi itu terkenal dengan pantai memutih dan pemandangan matahari terbenam yang memukau.  

Di salah satu sudut pulau ini, kelihatan timbunan sampah yang kian bertambah disusun oleh trak dan jentolak di sebuah tapak pelupusan sampah yang luas.

Ia menjadi destinasi akhir kepada lebih 1,000 tan sisa harian yang dikumpulkan di Phuket.  

Dalam tempoh beberapa bulan, tapak pelupusan tersebut telah membesar sehingga menggantikan panorama indah gunung-ganang yang pernah menjadi latar pemandangan dari rumah penduduk tempatan seperti Vassana Toyou.  

“Tidak ada kehidupan di luar rumah, kami hanya tinggal di dalam,” keluhnya sambil menambah bau busuk yang kuat memaksanya memakai pelitup muka.  

Untuk mengurangkan kesan bau, Vassana sentiasa menggunakan pendingin hawa dan alat pembersih udara, menyebabkan bil elektriknya meningkat dua kali ganda.  

Pulau terbesar di Thailand itu mengalami pembangunan pesat, didorong oleh sektor pelancongan yang menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan daripada 35.5 juta pelancong asing yang tiba di Thailand pada tahun 2024, kira-kira 13 juta memilih Phuket sebagai destinasi mereka.  

Timbalan Datuk Bandar Phuket, Suppachoke Laongphet menjelaskan pertumbuhan pesat bandar itu akibat ledakan sektor pelancongan dan pembinaan telah menyebabkan jumlah sampah melangkaui tahap sebelum pandemik Covid-19.  

“Pertumbuhan (Phuket) berlaku jauh lebih pantas daripada sepatutnya,” katanya.

Beliau malah memberi amaran menjelang akhir tahun ini, pulau itu berpotensi menghasilkan sehingga 1,400 tan sampah sehari, yang akan membebankan satu-satunya tapak pelupusan sampah sedia ada.  

Pihak berkuasa kini dalam usaha untuk mengurangkan penghasilan sisa sebanyak 15 peratus dalam tempoh enam bulan, selain memperluaskan tapak pelupusan dan membina insinerator baharu.  

Namun, langkah tersebut dianggap hanya penyelesaian sementara dan Phuket kini berdepan cabaran besar untuk menyeimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, agar terus menjadi destinasi pelancongan yang lestari. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN