WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan pendanaan dan promosi transisi gender bagi remaja LGBTQ.
Dalam perintah yang ditandatangani pada Selasa, Trump menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak akan ‘membiayai, menaja, mempromosikan, membantu atau menyokong’ transisi gender
Ia juga dikenali sebagai rawatan pengesahan jantina bagi individu berumur di bawah 19 tahun.
“Ramai kanak-kanak akhirnya menyesali mereka telah dimutilasi dan mula memahami tragedi mengerikan mereka tidak akan dapat memiliki anak sendiri atau menyusui anak-anak mereka.
“Lebih-lebih lagi, bil perubatan remaja ini mungkin meningkat sepanjang hayat mereka, kerana mereka sering terperangkap dengan komplikasi perubatan seumur hidup, pertarungan yang sukar dengan tubuh mereka sendiri dan secara tragis, kemandulan,” kata perintah eksekutif tersebut.
Perintah Trump meliputi pelbagai rawatan dan prosedur bagi remaja yang mengalami gender dysphoria, istilah yang merujuk kepada tekanan psikologi yang dialami oleh individu yang jantina biologinya tidak sepadan dengan identiti gender mereka.
Rawatan yang dilarang termasuk pemberian hormon penghalang akil baligh, terapi hormon silang dan pembedahan jantina.
Rawatan perubatan bagi remaja transgender telah menjadi isu kontroversi dan mencetuskan perdebatan politik di AS.
Pihak yang menyokong hak LGBTQ menekankan pentingnya inklusiviti dan akses kepada rawatan, manakala pihak yang menentang menyuarakan kebimbangan remaja belum cukup matang untuk membuat keputusan mengenai prosedur yang boleh mengubah hidup mereka secara kekal.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah remaja yang didiagnosis dengan gender dysphoria di AS telah meningkat beberapa kali ganda.
Namun, menurut pelbagai analisis, hanya sebilangan kecil daripada mereka yang benar-benar menjalani rawatan perubatan.-AGENSI










