Singapura tawar subsidi rawatan jerebu

Singapura tawar subsidi rawatan jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Rawatan bersubsidi bagi penyakit berkaitan jerebu mula ditawarkan di Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) dan poliklinik di Singapura bermula semalam susulan kemerosotan kualiti udara di seluruh negara akibat jerebu rentas sempadan.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung mengumumkan pengaktifan skim subsidi jerebu itu pada Ahad, sambil berkata, langkah berkenaan akan membantu rakyat Singapura mendapatkan rawatan bagi penyakit berkaitan jerebu di peringkat penjagaan kesihatan primer.

Menurut laporan CNA, semua warga Singapura layak menerima subsidi di poliklinik, manakala kelayakan di PHPC yang mengambil bahagian terhad kepada kumpulan tertentu, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemegang kad Bantuan Awam akan menerima rawatan yang ditanggung sepenuhnya, manakala warga emas daripada Generasi Perintis dan Generasi Merdeka hanya perlu membayar maksimum 5 dolar Singapura (RM15.95).

Bayaran bagi warga Singapura lain yang layak pula dihadkan kepada 10 dolar Singapura (RM31.91).

Antara penyakit yang dilindungi di bawah skim itu ialah rinitis alergi, asma, bronkitis, konjunktivitis, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), jangkitan saluran pernafasan atas dan komplikasi berkaitan.

Menurut laman web HealthHub, doktor akan menilai sama ada keadaan pesakit berpunca daripada jerebu dan layak dituntut di bawah skim berkenaan. Skim itu tidak meliputi rawatan atau ubat-ubatan bagi penyakit yang tidak berkaitan dengan jerebu.

Ubat bagi penyakit berkaitan jerebu hanya akan diberikan dalam kuantiti yang diperlukan sepanjang tempoh rawatan.

Penduduk diarah merujuk laman web MOH untuk mendapatkan senarai PHPC yang mengambil bahagian. Klinik yang terlibat juga boleh dikenal pasti menerusi pelekat PHPC atau poster skim subsidi jerebu yang dipamerkan.

Ye Kung berkata, terdapat 1,370 klinik di bawah skim PHPC, dengan hampir 1,000 daripadanya sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian.

Skim subsidi jerebu itu kali terakhir diaktifkan pada 2015, ketika Singapura mengalami antara episod jerebu terburuk apabila asap daripada kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi rantau ini selama beberapa minggu.

Kementerian Kesihatan (MOH) turut mengaktifkan skim PHPC yang bertujuan menyelaraskan tindak balas penjagaan kesihatan primer serta menyediakan rawatan bersubsidi ketika amaran kesihatan dan kecemasan, termasuk jerebu serta pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini