PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati lelaki itu bersalah mencederakan bekas teman wanitanya, dua tahun lalu.
Majistret Amira Sariaty Zainal membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Hoh Peng Onn, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dari tarikh sabitan, 13 Oktober 2026. Pampasan sebanyak RM5,000 juga diberikan kepada mangsa mengambil kira kesan trauma, kesan kecederaan dan emosi yang dialami,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah pampasan itu pada hari ini.
Mahkamah, bagaimanapun, kemudian membenarkan permohonan pembelaan agar pelaksanaan hukuman penjara itu digantung sementara menunggu rayuan namun memerintahkan agar denda dilunaskan pada hari ini.
Mengikut pertuduhan, Peng Onn didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul Liaw Ju Shuang, 28 di sebuah unit kediaman di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 5 Oktober 2024.
Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman mencadangkan hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap Peng Onn mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh selain tahap kecederaan yang dialami mangsa.
“Pihak pendakwaan juga ingin membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 426(1A) Kanun Prosedur Jenayah supaya satu jumlah pampasan diberikan kepada mangsa dalam kes ini,” katanya.
Peguam bela, Cheow Wee mewakili Peng Onn memohon agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda berbanding pemenjaraan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah pertama.
“Tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan tidak mempunyai sebarang sabitan terdahulu. Ini menunjukkan tiada keperluan bagi pemenjaraan serta-merta.
“Malah sejak dituduh, tertuduh telah menunjukkan tingkah laku yang baik dan tidak terlibat dengan sebarang kesalahan lain,” katanya.
Wee turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tersebut bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi serta penangguhan bayaran pampasan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penangguhan penjara dengan jumlah jaminan RM4,000, namun menolak penggantungan bayaran denda selain memerintahkan wang itu dibayar pada hari ini.
Difahamkan, kejadian bermula susulan pertengkaran antara Peng Onn dan mangsa yang ketika itu merupakan pasangan kekasih di unit kediaman berkenaan.
Akibat pergaduhan, tertuduh telah memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan lebam di bahagian mata dan badan.
Tindakan itu juga menyebabkan mangsa yang ketakutan bertindak berlari keluar dari rumah untuk meminta pertolongan sebelum diselamatkan oleh seorang jiran.-UTUSAN











