Dr Mahathir sudah semakin sihat, lebih aktif - Marina - Utusan Malaysia

Dr Mahathir sudah semakin sihat, lebih aktif – Marina

MAHATHIR Mohamad pada majlis bacaan tahlil Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) sudah semakin sihat, dia boleh cakap, dia mahu makan. Jadi, bolehlah dikatakan hampir sama seperti dahulu,” kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Beliau yang juga anak sulung Dr Mahathir berkata, bapanya kini boleh dikatakan semakin ‘aktif’ berbanding dua minggu lalu terutama selepas pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

“Dia lebih aktif sikit dan lebih bersemangat. Kini, dia masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dan belum boleh dibenarkan pulang ke rumah lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahlil Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ditanya sama ada beliau dan ahli keluarga yang lain sudah boleh menerima pemergian Allahyarham, Marina berkata, pada awalnya masih sukar menerima kenyataan berbanding sekarang.

“Kita sudah terima pemergian Allahyarham dari awal walaupun sukar pada awalnya. Lagipun, baru dua minggu. Masih susah percaya dia (Allahyarhamah) sudah tiada,” katanya sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, Marina turut berterima kasih kepada semua rakyat yang menziarahi pusara ibunya di Pusara Negara, Presint 20, di sini.

“Tiap-tiap kali saya pergi ke pusara, saya nampak ada ramai orang yang datang membaca Yasin, tabur bunga-bunga.

“Kami sekeluarga berterima kasih atas doa-doa mereka dan juga yang datang. Saya tahu ada dari jauh datang untuk menziarahi. Ini menunjukkan kesayangan mereka kepada ibu saya,” katanya.

Katanya, beliau amat terharu dan berterima kasih atas doa daripada orang awam yang tidak putus-putus menziarahi pusara ibunya.

Ditanya apa yang paling dirinduinya bersama Allahyarham, Marina berkata, beliau merindui semua detik ketika bersama arwah.

“Semuanya (rindu semuanya). Ada kalanya saya tak jumpa dia (arwah) hari-hari. Tetapi ada kalanya, saya teringin nak bertanya sesuatu kepadanya, meninggalkan pesanan tentang sesuatu atau berkongsi cerita dengannya.

“Kemudian, saya tersedar bahawa saya sudah tak boleh buat semua itu lagi. Itulah yang paling berat untuk saya lalui,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 tetamu hadir pada majlis tahlil berkenaan termasuk Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kenamaan lain termasuk bekas Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali dan bekas menteri Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini