Armada Perancis ke Jepun 'mesej' untuk China - Utusan Malaysia

Armada Perancis ke Jepun ‘mesej’ untuk China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis dilaporkan sedang bersiap sedia untuk menghantar kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, Charles de Gaulle, dalam misi lanjutan dan mungkin merangkumi lawatan bersejarah pertama ke Jepun.

Menurut Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Daito Bunka, Prof. Garren Mulloy, langkah itu bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada kedua-dua sekutu dan kuasa serantau yang bermusuhan.

“Mesej di sebalik penempatan terbaharu Perancis ini tidak hanya ditujukan kepada satu negara, walaupun keutamaan mungkin China, tetapi juga negara-negara lain,” katanya kepada This Week in Asia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Awal bulan ini, Kementerian Pertahanan Perancis mengumumkan kapal pengangkut pesawat dan pasukan petugasnya termasuk sayap udara serta kapal perang menjalankan latihan di Laut Mediterranean selepas menjalani pengubahsuaian selama empat bulan.

Menurut Naval News pada 1 November lalu, pegawai kanan Perancis memaklumkan kumpulan kapal induk ini akan memulakan misi berbulan-bulan, dinamakan Clemenceau 25, yang merangkumi Laut Mediterranean timur, Laut Merah, Lautan Hindi dan Asia Tenggara.

Laporan tersebut berkata, penempatan ini akan merangkumi lawatan pelabuhan ke Filipina dan Jepun.

Ia dijangka terdiri daripada kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle, sebuah kapal pemusnah pertahanan udara, dua kapal frigat, kapal selam serangan berkuasa nuklear dan kapal logistik.

Sementara, pasukan udara pula berkemungkinan terdiri daripada 24 jet pejuang Rafale Marine, empat helikopter dan dua pesawat amaran awal.

Misi ini dijangka melibatkan latihan bersama dengan tentera laut India serta beberapa rakan di Pasifik, termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, Australia serta Jepun.

KOMITMEN KUASA EROPAH

Pegawai tentera Perancis yang dirahsiakan identitinya memberitahu Naval News, misi itu tidak menetapkan sebarang had dan berhasrat untuk berlatih sejauh serta serealistik mungkin.

Selain meningkatkan kesalingoperasian dan keupayaan dengan negara bersekutu, Mulloy berkata, penempatan itu direka untuk menghantar pelbagai lapisan mesej kepada rakan serta pesaing.

“Corak penempatan oleh negara-negara Eropah berubah dalam tempoh lima tahun lalu atau lebih dan lawatan yang dahulunya sesekali ke Jepun kini menjadi lawatan yang agak kerap serta semakin besar dari segi saiz dan skala penglibatan pasukan Jepun,” kata Mulloy.

Beliau mendakwa, armada Perancis mungkin akan menyertai manuver bersama unit tentera dari Vietnam, yang sedang terlibat dalam pertikaian berterusan dengan China mengenai kedaulatan pulau di Laut China Selatan.

Beberapa elemen armada itu juga mungkin melalui Selat Taiwan untuk mengukuhkan sokongan antarabangsa terhadap kebebasan navigasi.

Selain itu, Mulloy percaya kapal perang Perancis akan turut serta dalam aktiviti berhampiran semenanjung Korea yang berkaitan sekatan antarabangsa terhadap Korea Utara untuk pembangunan nuklear dan peluru berpandunya.

Sebahagian tentera laut Eropah terlibat dalam operasi sekatan maritim untuk mengganggu usaha Utara mengakses teknologi yang dilarang melalui pemindahan kapal ke kapal.

Beliau berkata, selain menunjukkan komitmen Perancis terhadap kawasan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, mesej kepada rakan kongsi tempan juga adalah sama penting.

“Kuasa-kuasa Eropah menunjukkan bahawa mereka tidak hanya terlibat di Ukraine, tetapi juga komited untuk melindungi Indo-Pasifik dan mengekalkan status quo serantau,” katanya.

Bagaimanapun, Beijing mengkritik penempatan tentera Perancis dan menuduh Paris cuba mengembangkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Asia-Pasifik dan menjejaskan keamanan serta kestabilan serantau.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini