KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Amerika Syarikat (AS) tidak komited membantu negaranya mempertahankan diri selepas serangan bom Russia ke atas dua bas penumpang mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang kelmarin.
Serangan menyasarkan bas awam di bandar Kramatorsk berlaku ketika gelombang serangan Russia di seluruh Ukraine mengorbankan 78 orang dan mencederakan 215 yang lain dalam tempoh dua hari, menurut Zelensky.
Ketika bercakap kepada pemberita di Pryluky, pemimpin Ukraine itu mengkritik Washington kerana meneruskan hubungan ekonomi dengan Moscow sambil berusaha menjadi orang tengah untuk menamatkan perang yang kini memasuki tahun kelima.
Beliau turut menggesa AS memperluas akses Ukraine kepada perkhidmatan satelit Starlink bagi membantu tenteranya menyasarkan pelancar peluru berpandu balistik Russia.
“Buka akses Starlink untuk Ukraine. Anda membukanya ketika bertindak balas terhadap Iran.
“Saya sudah menyatakannya secara terbuka, berikannya kepada kami, bantu kami mempertahankan ruang udara dan menguasainya. Selepas itu, Presiden Russia, Vladimir Putin akan duduk di meja rundingan,” katanya.
Zelensky berkata, perunding Ukraine akan berkunjung ke AS pada Jumaat dan Sabtu untuk mengadakan rundingan. Beliau turut menggesa Presiden AS, Donald Trump meningkatkan tekanan sekatan terhadap Russia.
Beliau menegaskan, AS tidak seharusnya meneruskan rundingan mengenai projek ekonomi masa depan dengan Russia tetapi pada masa yang sama mendakwa konflik itu menemui jalan buntu dari segi diplomatik.
“Jadi, di manakah kebenaran dan kejujuran dalam hal ini? Di manakah kebuntuan itu? Itu namanya keengganan.
“Kita tidak berada dalam kebuntuan diplomatik. Hentikan seluruh kegiatan ekonomi mereka. Tutup mulut Russia, jangan biayai mereka melalui pembelian produk mereka.
“Kenakan sekatan terhadap senjata mereka. Buka akses Starlink kepada kami, kepada Ukraine,” katanya. – AGENSI











