BANDAR GAZA: Serangan tentera Israel telah mengorbankan atau mencederakan sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza pada purata setiap 90 minit sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober tahun lalu.
Dapatan berhubung krisis kemanusiaan tersebut didedahkan oleh pertubuhan bantuan kemanusiaan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Islamic Relief menerusi satu laporan yang diterbitkan pada Khamis.
Menurut badan kebajikan berkenaan, sekurang-kurangnya 1,454 rakyat Palestin telah terbunuh manakala lebih 5,000 lagi mengalami kecederaan sepanjang tempoh setahun pelaksanaan gencatan senjata berkenaan.
Lebih menyedihkan, sekurang-kurangnya 320 daripada jumlah mangsa yang terkorban merupakan kanak-kanak, iaitu secara purata hampir seorang kanak-kanak terbunuh pada setiap hari.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa seramai 1,471 rakyat Palestin terbunuh dan 5,189 lagi cedera sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, merangkumi empat kematian serta 28 kecederaan yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian itu turut menambah, jumlah keseluruhan korban angka kematian akibat serangan ketenteraan Israel kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 74,254 orang sejak Oktober 2023.
Serangan ketenteraan Israel telah menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.
Dalam insiden terbaharu pada Khamis, agensi berita Palestin Wafa melaporkan bahawa pasukan tentera Israel mengorbankan seorang lelaki Palestin di tenggara Deir el-Balah, di tengah Gaza.
Pada masa sama, satu serangan udara ke atas sebuah kediaman di tengah Khan Younis turut mengakibatkan beberapa penduduk mengalami kecederaan.
Ancaman keganasan turut meluas di Tebing Barat yang diduduki, di mana Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tertembak di bahagian kaki semasa serbuan tentera Israel di Yamoun, berhampiran Jenin.
Islamic Relief mendedahkan bahawa rejim Israel memanfaatkan sempadan garisan ketenteraan Garisan Kuning untuk mengawal wilayah Gaza secara berperingkat.
Langkah tersebut membolehkan mereka menguasai sehingga 65 peratus kawasan Gaza, sekali gus merapatkan dan mendesak hampir 2.1 juta penduduk untuk bersesak di dalam baki 35 peratus wilayah yang tinggal.
Menerusi laporan tersebut, seorang petugas bantuan Islamic Relief di Gaza menyatakan bahawa realitinya, tiada gencatan senjata yang berlaku di sini.
“Mereka secara berterusan menyasarkan kem pelarian dan kawasan padat dengan penduduk, menyebabkan suasana ketakutan kekal menyelubungi kami,” katanya.
Badan kemanusiaan itu turut mendakwa Israel secara berterusan menyekat kemasukan bahan perlindungan asas, bekalan bahan api dan kelengkapan perubatan.
Sehingga kini, dianggarkan 82 peratus daripada struktur bangunan di Gaza telah mengalami kerosakan atau musnah sepenuhnya. Keadaan menjadi semakin meruncing apabila lebih separuh daripada perkhidmatan fasiliti kesihatan terpaksa ditutup, manakala lebih 20,000 pesakit kritikal dinafikan kelulusan untuk keluar bagi mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Susulan perkembangan memilukan itu, Islamic Relief mendesak para pemimpin dunia untuk memperhebatkan tekanan antarabangsa bagi melindungi golongan awam dan menegakkan undang-undang antarabangsa.
“Gencatan senjata yang sekadar wujud atas kertas tidak boleh dijadikan alasan oleh masyarakat antarabangsa untuk terus berpeluk tubuh,” tegas pertubuhan itu. – AGENSI











