Pentadbiran Biden perketat sekatan suaka di sempadan AS

Pentadbiran Biden perketat sekatan suaka di sempadan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memperketatkan sekatan suaka di sempadannya dengan Mexico, ketika parti Demokrat cuba mempamer tindakan lebih tegas terhadap pendatang menjelang pilihan raya November ini.

Peraturan baharu itu memperluaskan sekatan yang diumumkan pada Jun lalu dengan menghalang pendatang daripada diberikan suaka selepas pegawai AS menyifatkan sempadan selatan sudah semakin sesak dan tidak terkawal.

“Tindakan ini  diambil selari dengan tindakan pentadbiran lain yang telah meningkatkan penguatkuasaan dan menghantar pencari suaka laluan selamat dan sah kepada bantuan kemanusiaan,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas dalam satu kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di bawah peraturan sebelum ini, kerajaan AS boleh menyekat akses suaka apabila bilangan pendatang dan pencari suaka yang cuba memasuki negara itu melalui lintasan sempadan rasmi mencecah 2,500 sehari.

Angka purata harian harus di bawah 1,500 sehari selama seminggu  sebelum sekatan boleh ditarik balik.

Tetapi di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa selepas tengah malam semalam, jumlah harian perlu di bawah 1,500 selama hampir sebulan sebelum sekatan boleh ditarik balik.

Pentadbiran juga kini turut mengambil kira jumlah semua kanak-kanak sedangkan sebelum ini kiraan had purata itu hanya melibatkan kanak-kanak migran dari Mexico.

Pengumuman itu mendapat kritikan penyokong hak migran termasuk Pengarah Hak Pelarian dan Migran Amnesty International USA, Amy Fischer yang menyifatkan kaedah itu tidak munasabah apabila terdapat penyelesaian lain yang boleh guna pakai.

Masalah pendatang kekal sebagai isu utama yang sering digunakan di AS untuk mendapatkan pengaruh terhadap lawan politik.

Pihak Republikan dan media berhaluan kanan sering menuduh Demokrat bertindak longgar dalam keselamatan sempadan, walaupun pentadbiran Biden menggubal undang-undang baharu seperti sekatan suaka.

Calon presiden Republikan, Donald Trump yang menjalankan kawalan ketat anti-pendatang semasa memegang jawatan terus mengecam saingan Demokratnya, Naib Presiden AS, Kamala Harris mengenai isu itu menjelang pilihan raya bulan depan.

Setakat bulan lalu, pihak berkuasa sempadan AS dilaporkan sudah menahan kira-kira 54,000 pendatang dan pencari suaka, menurun mendadak daripada paras tertinggi 250,000 pada Disember tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini