PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Berhad (Kelington) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Technologies Sdn. Bhd. (KTSB) raih kontrak bernilai kira-kira RM128 juta bagi projek fasiliti pembuatan storan data termaju di Kuching, Sarawak.
Kontrak yang dianugerahkan oleh sebuah syarikat pembuatan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya itu merupakan perolehan ketiga daripada pelanggan sama dalam tempoh dua minggu, sekali gus membawakan nilai kumulatif projek berkenaan kepada RM544 juta.
Skop kerja pakej terbaharu ini merangkumi reka bentuk dan pembinaan sistem Penjana Air Terdeionisasi (DI) Ketulenan Sangat Tinggi serta Loji Rawatan Sisa Air (WWTP) yang menjadi sebahagian daripada utiliti proses kritikal fasiliti berkenaan.
Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula serta-merta dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang April 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group Berhad, Lim Seng Chuan berkata, penganugerahan tiga kontrak utama daripada pelanggan yang sama dalam tempoh singkat mencatatkan pencapaian bermakna bagi syarikat.
“Kontrak berturutan ini meluaskan lagi peranan kami dalam pembangunan fasiliti pembuatan termaju berkenaan menerusi pelbagai skop kerja kejuruteraan dan pembinaan.
“Pakej terbaharu ini memanfaatkan kepakaran kami dalam menyediakan sistem utiliti proses kritikal yang memerlukan ketepatan, kebolehpercayaan dan kepakaran teknikal tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, penekanan berterusan kerajaan dalam memperkukuh industri semikonduktor tempatan menerusi Belanjawan 2027 dijangka terus menyokong pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan.
“Sebelum ini, Kelington turut meraih dua kontrak berasingan bagi projek yang sama bernilai RM172 juta dan RM133 juta, masing-masing pada 29 September dan 5 Oktober lalu.
“Perolehan terbaharu ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun kewangan seterusnya sehingga projek selesai,” katanya.
Syarikat itu merangkul nilai keseluruhan kontrak berjumlah RM4.34 billion bagi tahun setakat ini, sekali gus mengukuhkan buku pesanan dan keterlihatan pendapatannya bagi tempoh beberapa tahun akan datang. – UTUSAN








