KUALA LUMPUR: Politik di Malaysia akan menjadi semakin toksik jika reformasi pengagihan peruntukan Ahli Parlimen tidak dibuat secara adil.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan melalui sistem yang lebih adil adil bagi memastikan pengagihan peruntukan tidak dipengaruhi kedudukan wakil rakyat sama ada di blok kerajaan atau pembangkang.
Katanya, kegagalan melaksanakan perubahan secara menyeluruh akan menyebabkan isu sama terus berulang setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.
“Saya puji ada juga reformasi yang sepatutnya dibuat tapi masih belum dibuat iaitu isu peruntukan Ahli Parlimen yang adil. Muar tetap katakan bahawa ini merupakan isu hak. Kalau kita tidak sedar dan menginstitusikan perubahan ini, tukar lagi kerajaan, isu ini akan berterusan berpanjangan dan akhirnya politik di Malaysia makin lama makin toksik.
“Berkenaan isu peruntukan yang adil ini, jikalau jawapannya adalah ‘tidak mengapa kalau kita tidak salurkan kepada Ahli Parlimen tetapi kita salurkan kepada rakyat terus,’ kita lontarkan kembali persoalan yang sama.
“Kalau disalurkan kepada rakyat, kenapa bagi Ahli Parlimen kerajaan RM4 juta, tetapi bila Ahli Parlimen pembangkang lain pula? Soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut berkongsi pengalamannya berunding dengan kerajaan sebanyak lapan kali sebelum memperoleh peruntukan pentadbiran, sambil menegaskan bahawa beliau bersedia mematuhi syarat dan sekatan yang ditetapkan, termasuk larangan menggunakan peruntukan itu bagi tujuan kebajikan.
“Saya ingin mencadangkan, sekurang-kurangnya peruntukan pentadbiran ini perlu diberikan kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang lain yang belum mendapatnya dan belum berunding.
“Apabila peruntukan pentadbiran ini diberi dan diaudit, ada semak dan imbangnya. Mereka boleh menggaji staf, yang penting bukan sahaja untuk berjumpa rakyat, tetapi juga menjalankan kajian serta mengurus pusat khidmat,” katanya.
Syed Saddiq, reformasi itu penting bagi membina institusi negara yang kukuh dan mampu berfungsi secara adil walaupun berlaku perubahan kuasa politik.
“Politik ini ada jatuh bangunnya. Hari ini kita di atas, esok kita di bawah. Tetapi apabila kita berada di atas dan amanah serta tanggungjawab diberikan kepada kita, kita perlu membina satu sistem dan institusi yang adil dan saksama.
“Kalau tidak, sampai bila-bila pun politik di Malaysia akan terbelah dua dalam keadaan yang sangat teruk dan toksik, dan Malaysia yang akan rugi,” katanya.-UTUSAN











