MSN, MPM perlu duduk semeja

MSN, MPM perlu duduk semeja

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub mengakui berasa terkilan dan kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) terhadap agensi kerajaan itu yang disifatkan melulu dan melampau.

Beliau berasa hairan dengan tindakan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menyalahkan MSN selepas kontinjen para negara gagal membawa pulang empat pingat emas sedangkan sasaran tersebut dibuat oleh MPM.

“Jangkaan peribadi, saya ingatkan Presiden MPM nak mengucapkan terima kasih kepada MSN kerana selama ini bertahun-tahun sejak dari mula, MSN sentiasa bersama bekerja rapat dengan MPM.

“Malahan sejak 2017 MSN beri peruntukkan pentadbiran kepada MPM. Kita tiada masalah langsung sebenarnya. Sepatutnya walaupun berlaku begini apa salahnya kita duduk semeja dan berbincang bersama. MSN tidak pernah kata yang kita tidak bertanggungjawab. Tidak pernah.

“Saya kesal dengan kenyataan tersebut dan bagi saya ia sangat melulu, terburu-buru dan melampau. Tidak perlu kita menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Kita harus lihat pendekatan secara holistik dan bukannya salah siapa.

“Saya lebih kesal kerana yang mula meletakkan sasaran itu adalah mereka (MPM), bukan MSN. Kalau nak bawa Malaysia maju dalam sukan semangat kena ada dan kalau masih dengan cara lama, belum habis temasya sudah tuding jari maka kita akan kebelakang,” katanya.

Abdul Rashid ditemui pemberita selepas majlis sambutan kepulangan kontinjen para negara dari Sukan Paralimpik Paris 2024 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Sebelum ini, Megat mendakwa sasaran pingat tidak dapat dicapai apabila terdapat campur tangan MSN yang menghalang pegawai MPM melaksanakan tugas mereka malah turut mendakwa Kontinjen Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Datuk R. Subramaniam dibuli.

Mengulas lanjut mengenai isu buli seperti didakwa Megat, perkara itu tidak timbul malah MSN sentiasa memberi bantuan kepada MPM apabila diperlukan.

“Bukan nak ungkit tetapi terpaksa cakap sebab orang dah mula berkata-kata mengenai MSN. Saya perlu mempertahankan MSN dan pegawai saya kerana kami pegawai kerajaan bekerja bantu mengikut aturan.

“Kami tidak pernah membantah Datuk Subramaniam menjadi ketua kontinjen malah selepas kenyataan Presiden MPM kami berhubung dengannya untuk bertanyakan jika ada apa-apa masalah dan jawapan diterima adalah tiada masalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN