NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyeru masyarakat antarabangsa menghentikan penghantaran senjata ke Israel bagi menamatkan pertumpahan darah di Tebing Barat dan Gaza.
Mahmoud menyatakan, Washington terus memberikan perlindungan diplomatik dan senjata kepada Israel untuk peperangan di Gaza meskipun jumlah kematian di kawasan tersebut semakin meningkat mencecah 41,534 orang.
“Hentikan jenayah ini. Hentikan pembunuhan kanak-kanak dan wanita. Hentikan genosid. Hentikan penghantaran senjata ke Israel. Kegilaan ini tidak boleh diteruskan.
“Seluruh dunia bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada rakyat kami di Gaza dan Tebing Barat,” kata Mahmoud dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). .
Washington yang juga adalah sekutu dan penyokong Israel, menyediakan negara itu dengan bantuan dan bekalan ketenteraan bernilai berbilion dolar.
Ucapan Mahmoud itu dibuat beberapa bulan selepas Perhimpunan Agung PBB mengundi Palestin layak mendapat keahlian penuh.
Mahmoud dalam pada itu berkata, AS berulang kali menggunakan veto bagi meneruskan serangan rejim Yahudi di Gaza.
“Ia memberikan Israel senjata mematikan yang digunakan untuk membunuh ribuan orang awam yang tidak bersalah iaitu kanak-kanak dan wanita,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Mahmoud berkata, tindakan Israel yang enggan mendengar arahan PBB, menunjukkan ia tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada badan dunia tersebut.
“Israel yang enggan melaksanakan resolusi PBB, tidak layak untuk menjadi ahli organisasi antarabangsa ini,” katanya. – AFP











